Ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus suku pertama

Abdul Rasheed (kanan) ketika mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2024 pada Jumaat. Foto Bernama
Abdul Rasheed (kanan) ketika mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2024 pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 2.9 peratus pada suku keempat 2023, didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pertumbuhan eksport yang positif.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah adalah lebih tinggi berikutan pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan.

"Aktiviti pelaburan adalah lebih giat disokong oleh perbelanjaan modal sektor swasta dan sektor awam yang lebih tinggi,” katanya ketika mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2024 di sini pada Jumaat.

Abdul Rasheed berkata, eksport kembali pulih berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

Abdul Rasheed (kanan) dan Mohd Uzir selepas sidang media pada Jumaat. Foto Bernama
Abdul Rasheed (kanan) dan Mohd Uzir selepas sidang media pada Jumaat. Foto Bernama

Dari segi penawaran, kebanyakan sektor mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi, sektor perkilangan telah meningkat disebabkan oleh pemulihan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta industri bukan E&E.

Beliau berkata, pertumbuhan yang lebih kukuh bagi sektor perkhidmatan didorong oleh aktiviti perdagangan runcit yang lebih tinggi dan sokongan yang berterusan daripada subsektor pengangkutan dan penyimpanan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai inflasi, Abdul Rasheed berkata, inflasi keseluruhan kekal sederhana pada 1.7 peratus pada suku pertama berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023 manakala inflasi teras berkurang kepada 1.8 peratus daripada 2.0 peratus pada suku keempat 2023.

Beliau berkata, peningkatan sederhana dalam inflasi keseluruhan ini mencerminkan pelarasan dasar tarif air pada Februari dan cukai perkhidmatan bagi penggunaan elektrik yang tinggi pada Mac, dengan masing-masing meningkat 20.8 peratus (suku keempat 2023: 2.1 peratus) dan 0.7 peratus (suku keempat 2023: sifar peratus).

Sementara itu, inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi segmen makanan dan minuman yang terus mereda.

"Rebakan inflasi meningkat sedikit, apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan meningkat kepada 44.2 peratus pada suku tersebut (suku keempat 2023: 36.3 peratus).

"Bagaimanapun, bahagian ini kekal di bawah purata jangka panjang suku pertama (tempoh suku pertama tahun 2011-2019) iaitu sebanyak 52.2 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan mengenai prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 berkata, sektor perkhidmatan memacu prestasi keseluruhan pada suku pertama 2024, selain sektor pembuatan yang meningkat selepas mencatatkan penurunan pada suku tahun sebelumnya.

"Dari segi prestasi sektoral, sektor perkhidmatan berkembang 4.7 peratus pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 4.1 peratus), disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit (3.8 peratus) dan pengangkutan dan penyimpanan (11.0 peratus).

"Sektor pembuatan meningkat 1.9 peratus pada suku pertama selepas menurun 0.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, didorong oleh industri berorientasikan domestik terutamanya pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas, dan produk logam yang direka (7.2 peratus)," katanya.

Selain itu, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan pertumbuhan lebih baik iaitu 5.7 peratus selepas meningkat 3.5 peratus pada suku keempat 2023, disokong oleh semua subsektor, terutamanya subsektor gas asli yang berkembang 9.0 peratus.

Mohd Uzir berkata, sektor pertanian bertumbuh 1.6 peratus pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 1.9 peratus), dipacu subsektor sawit dan ternakan manakala sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 11.9 peratus (suku keempat 2023: 3.6 peratus).

Beliau berkata, eksport dan import masing-masing meningkat 5.2 peratus (suku keempat 2023: -7.9 peratus) dan 8.0 peratus (suku keempat 2023: -2.6 peratus), selepas mencatatkan pertumbuhan negatif pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh permintaan luar yang lebih baik. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!