Isu tapak kubur Selat Klang: 57 daripada 90 waris sudah dikenal pasti

Masih belum ada kerja-kerja pemindahan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada pagi Jumaat. (Gambar kecil: Hazlina)
Masih belum ada kerja-kerja pemindahan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada pagi Jumaat. (Gambar kecil: Hazlina)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 57 daripada 90 waris tapak Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang akan dipindahkan bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah dikenal pasti waris dan ahli keluarganya.

Salah seorang waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, terdapat pertambahan lima waris berbanding 52 waris pada minggu lalu dan perkara itu dimaklumkan pihak yang berkaitan.

Jelasnya, bagaimanapun masih terdapat waris yang masih gagal untuk dihubungi dan tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Ada pertambahan sebanyak lima waris menjadi 57 berbanding hanya 52 waris sahaja yang dimaklumkan mengenai pemindahan ini pada minggu lalu.

"Alhamdulillah, setakat hari ini masih belum ada kerja-kerja pemindahan dilakukan pada pagi Jumaat dan harapan kami masih sama mahu semua waris dipanggil terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menambah, mereka juga masih belum dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai kerja-kerja pemindahan namun difahamkan ia akan dilakukan sebelum 25 Mei ini.

"Memang tiada berita langsung sejak perjumpaan dengan semua pihak terbabit pada 5 Mei lalu dan setakat ini tiada kerja-kerja pemindahan tetapi sebelum ini mereka maklum sebelum 25 Mei," tambahnya.

Pada 6 Mei lalu, isu penggalian dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka selesai akhir bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan waris, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) secara tertutup.

Ujarnya, isu pembinaan yang banyak berbangkit di Selangor sudah selesai dan terbaharu berkaitan peralihan kubur di Selat Klang.

Beliau menjangka ia akan dapat diselesaikan penghujung bulan ini dan secara keseluruhan perbincangan itu menjurus kepada bagaimana mereka perlu memindahkan kubur terbabit.

Selain itu, ujarnya, pihaknya juga sudah mendapatkan kaedah mengenai apa yang perlu dibuat dan tentunya ia mendapat kelulusan daripada Majlis Fatwa Selangor.

"Oleh itu, sepatutnya tidak ada isu berbangkit, tetapi kita faham dari segi sensitiviti dan juga keresahan yang ditimbulkan oleh waris," katanya kepada pemberita.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!