Waris tetap bantah pindah kubur untuk ECRL

Lebih 100 waris dan penduduk setempat menyertai pertemuan selama sejam bersama wakil JAIS.
Lebih 100 waris dan penduduk setempat menyertai pertemuan selama sejam bersama wakil JAIS.
A
A
A

KLANG - Waris dan ahli keluarga tegas membantah proses pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Salah seorang waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, mereka juga mahu keputusan sebulat suara diperoleh dengan mengumpul kesemua waris dalam pertemuan dijadualkan Ahad ini.

Hazlina Hasbullah
Hazlina Hasbullah

"Pihak terlibat telah membuat pengumuman untuk (sesi perjumpaan) pada 5 Mei di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan minggu ini mereka akan cari kesemua waris.

"Tuntutan kami tetap mahu 90 orang waris hadir, kalau 5 Mei ini (hanya) ada 50 orang kami tidak akan teruskan perbincangan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Selat Klang di sini pada Rabu.

Aminnullah Kamarudin
Aminnullah Kamarudin

Sementara itu, seorang lagi waris, Aminnullah Kamarudin, 39, berkata dia kekal membantah pemindahan kubur arwah ibunya itu kerana lokasi berkenaan berada di kawasan tanah wakaf.

Ujarnya, pihak berkaitan perlu mengambil kira sensitiviti isu itu dengan menggunakan laluan lain tanpa menyentuh pusara yang kebanyakannya baharu dua tahun dikebumikan.

Artikel Berkaitan:

“Saya bukan memikirkan soal pampasan namun tanah wakaf bagi kubur tidak sepatutnya dijadikan sebagai laluan ECRL, saya kekal membantah kerja penggalian dan pemindahan itu selain mahu jalan penyelesaian tuntas diputuskan," katanya.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali (tengah) turut bersama penduduk di lokasi.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali (tengah) turut bersama penduduk di lokasi.

Terdahulu, lebih 100 waris dan penduduk setempat menyertai pertemuan selama sejam bersama wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai isu tersebut.

Turut berada di lokasi ialah Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali.

Pada Selasa, kerja-kerja menggali dan pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini yang dijangka dijalankan pada Rabu ditangguhkan seminggu lagi.

Waris sempat menziarahi kubur keluarga masing-masing selepas kawasan yang ditutup dengan pagar zink itu dibuka.
Waris sempat menziarahi kubur keluarga masing-masing selepas kawasan yang ditutup dengan pagar zink itu dibuka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, langkah itu bagi memberikan ruang bagi proses pemakluman dan pendengaran kepada 45 lagi waris kubur tersebut.

Dalam pada itu, wakil JAIS berkata, pihaknya masih mengesan 20 lagi waris bagi menyelesaikan isu tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!