Projek ECRL: Waris 31 lot kubur masih gagal dikesan

Sebahagian ahli keluarga menziarahi kubur pada Program Gotong-Royong di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada Isnin.
Sebahagian ahli keluarga menziarahi kubur pada Program Gotong-Royong di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 31 daripada 90 lot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang terlibat dalam proses pemindahan bagi memberi laluan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) didakwa masih belum dapat dikenal pasti waris dan ahli keluarga.

Salah seorang waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, perkara itu dimaklumkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) semasa perjumpaan antara pihak terlibat dan waris pada 5 Mei lalu.

Beliau memberitahu, soalan dikemukakan oleh waris dan ahli keluarga juga tidak dapat dijawab pihak berwajib semasa perjumpaan tersebut.

"Masih terdapat waris masih gagal dihubungi dan tidak dimaklumkan tentang perkara ini.

"Kami berharap ia ditangguhkan buat sementara waktu sehingga semua waris dan keluarga dapat dikesan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Hazlina memberitahu, Malaysia Rail Link (MRL) sebelum ini memaklumkan kepada waris mengenai penangguhan pemindahan itu buat sementara waktu sehingga 17 Mei ini.

"Saya anggap ia terlalu singkat sedangkan masih ramai lagi waris dan ahli keluarga yang gagal dikesan.

"Saya berharap waris dan ahli keluarga segera tampil untuk mengesahkan lot kubur yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Ini isu sensitif dan saya mohon perkara ini dihebahkan agar waris dan ahli keluarga tahu tentang pemindahan tersebut," kata Hazlina.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya masih berharap semua waris dipanggil semula dalam meja rundingan sebelum kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur itu dilaksanakan.

"Biarlah semua waris ada baru kita laksanakan kerja penggalian dan pemindahan bagi memastikan keputusan menang-menang dapat dicapai," katanya.

Hazlina turut mencadangkan supaya kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur dilakukan pada hujung minggu bagi memudahkan waris dan ahli keluarga terlibat.

Jelasnya, kerajaan juga diharap menetapkan tarikh bagi membolehkan waris dan ahli keluarga melihat sendiri kerja pemindahan yang difahamkan dijalankan secara berperingkat.

"Kebanyakan waris dan keluarga bekerja pada hari biasa. Kita mohon kepada kerajaan negeri dan pihak terlibat supaya melaksanakan kerja pemindahan ini pada cuti hujung minggu.

"Jika tidak dimaklumkan awal kepada waris (tarikh penggalian dan pemindahan kubur), maka susahlah kami untuk memohon cuti daripada majikan," jelasnya.

Sebelum itu, pengalihan dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi projek ECRL dijangka selesai pada akhir bulan ini.

Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya sudah pun membuat perbincangan bersama waris, Jabatan Agama Islam Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada 3 Mei lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, majoriti waris dan ahli keluarga terlibat dalam proses pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bersetuju untuk memberikan laluan bagi pembinaan projek ECRL.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika ini sedang menumpukan usaha mendapatkan persetujuan baki waris lain yang terlibat.