Kesempitan hidup tak halang hantar 4 anak bersekolah

Lizawati (kiri) ketika menjaga anaknya NurulJannah Batrisia Mohd Nazsha,12, yang mengalami kecederaan ketika bersukan.
Lizawati (kiri) ketika menjaga anaknya NurulJannah Batrisia Mohd Nazsha,12, yang mengalami kecederaan ketika bersukan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Meskipun kesempitan hidup, namun sebuah keluarga di sini tidak pernah gagal untuk menghantar empat daripada enam anaknya bersekolah.

Suri rumah, Lizawati Idris, 39, berkata, pendapatan keluarganya hanya bergantung kepada upah diperoleh suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Menurutnya, suaminya akan menerima upah sebanyak RM100 sehari sekiranya dipanggil pelanggan atau kontraktor.

"Sebelum ini, saya dan suami ada menjual kuih-muih, namun sejak bersalin anak keenam hampir dua tahun lalu, kesihatan saya sering terjejas lebih-lebih lagi diserang angin ahmar.

"Biarpun keluarga kami susah, namun saya tetap hantar anak ke sekolah supaya mereka dapat pendidikan termasuk anak kedua yang belajar di Kolej Vokasional Jasin," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cempaka di Durian Tunggal di sini pada Rabu.

Tambah Lizawati, empat anaknya yang masih belajar berusia tujuh hingga 18 tahun.

Bercerita lebih lanjut, Lizawati berkata, sekiranya terputus bekalan makanan, mereka sekeluarga akan makan lempeng atau cekodok untuk mengalas perut.

Dalam pada itu, Lizawati mengakui mendapat bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam (MAIM) dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM500 namun tidak mencukupi memandangkan kadar sewa bulanan rumah mencecah RM500, selain anak bongsu yang memerlukan perbelanjaan lampin pakai buang dan susu.

Artikel Berkaitan:

Zahari (duduk) ketika melawat NurulJannah Batrisia Mohd Nazsha,12, yang patah kaki ketika bersukan.
Zahari (duduk) ketika melawat NurulJannah Batrisia Mohd Nazsha,12, yang patah kaki ketika bersukan.

"Selalu juga kami terputus bekalan makanan, namun nasib baik anak-anak memahami dan tidak banyak kerenah apabila hanya diberi makanan lempeng atau nasi berlaukkan telur.

"Cuma dengan pendapatan suami yang tidak tetap sukar untuk saya menjelaskan bayaran sewa rumah hingga tertunggak lebih tiga bulan," katanya.

Ditanya mengenai bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lizawati berkata, dia tidak mahu meminta-minta dan sesusah mana keluarga, dia dan suaminya akan berusaha sendiri supaya pembelajaran anak-anak tidak terabai.

Jelasnya, dia bersyukur Ahli Dewan Undangan (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Khalil datang melawat anaknya yang mengalami kecederaan ketika bersukan di sekolah pada minggu lalu selain pihak sekolah yang datang menziarahi dan menyampaikan sumbangan.

"Selagi kami boleh berusaha selagi itu kami tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya yang berasal dari Felda Jelai, Negeri Sembilan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!