Mat Zaki, bekas isteri pemandu e-hailing nampak seperti kekasih - Saksi

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu hubungan antara bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain dan bekas isteri pemandu e-hailing nampak seperti sepasang kekasih.

Saksi pendakwaan kelapan kes pembunuhan Shim Vui Nyen (HE), 51, bagaimanapun tidak dapat mengesahkan hubungan itu kerana Mat Zaki dan wanita yang dikenali sebagai Anna Juli atau Ann itu, tidak pernah menyatakan dengan jelas status hubungan mereka.

Ketika diminta Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rohaiza Abdul Rahman untuk menjelaskan lanjut, saksi yang juga seorang pemilik kafe di Lahad Datu berkata, mereka nampak seperti sepasang kekasih berdasarkan gerak geri mereka.

Rohaiza: "Boleh jelaskan pada mahkamah berdasarkan pengakuan kamu sejak bila mereka nampak sebagai sepasang kekasih?”

Vui Nyen: "Saya yang perasan, kadang kala”.

Rohaiza: "Boleh jelaskan pada mahkamah, tempoh masa sejak bila mereka dilihat sebagai kekasih?”

Vui Nyen: "Selepas minum-minum”.

Vui Nyen berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing Nurman Bakaratu, 61, membabitkan lapan tertuduh iaitu Mat Zaki, enam anggota polis dan seorang orang awam.

Artikel Berkaitan:

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5 di sini di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Menurut Vui Nyen, beliau juga pernah bertanyakan kepada wanita itu mengenai status perkahwinannya, yang mana Ann menjawab dia masih bujang.

Menjelas lanjut semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh mengenai hubungan Mat Zaki dan Ann, Vui Nyen berkata Ann pernah dilihat memeluk Mat Zaki selepas satu sesi minum-minum.

Pada satu soalan oleh peguam Datuk Ansari Abdullah, saksi itu berkata, Ann pernah menyerang kereta Nurman yang berwarna putih dengan sebatang kayu selepas suatu pertengkaran dalam kafe milik saksi berkenaan.

Vui Nyen bagaimanapun bersetuju dengan Ansari bahawa beliau tidak pasti jika pertengkaran itu berkaitan wang yang dipinjamkan kepada Ann oleh mangsa dan belum dibayar balik.

Semasa pemeriksaan semula oleh TPR Khairul Azreem Mamat, Vui Nyen memberitahu Ann pernah menghubunginya pada 16 Januari lepas, supaya menghubungi Mat Zaki agar tertuduh tidak membalas mesej yang diterima daripada nombor telefon wanita itu.

Sebaliknya, Mat Zaki boleh membalas mesej yang diterima daripada nombor kod 22298, kata saksi itu.

Perbicaraan depan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok. - Bernama