Keputusan PRK KKB bukan undi keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Kian Ming)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Kian Ming)
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) tidak boleh di salah tafsir sebagai undi keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, ia berikutan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan dalam segmen masyarakat yang berbeza itu adalah nyata dan semakin meningkat

“Status quo bagi PRK Kuala Kubu Baharu mempunyai implikasi positif serta negatif untuk PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ramai rakan saya dalam PH akan mengingati PRK Ijok pada April 2007 yang dimenangi oleh calon BN dengan agak selesa.

“Kurang dari setahun kemudian, pada Mac 2008, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), BN kehilangan kawalan Selangor dan majoriti dua pertiga di Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan calon PH, Pang Sock Tao menewaskan tiga lagi calon masing-masing dari PN, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas dengan majoriti 3,869 undi selepas meraih 14,000 undi.

Dalam pada itu, ujar Kian Ming, medan pertempuran politik sebenar melibatkan golongan pertengahan iaitu pengundi Melayu yang boleh dipengaruhi berdasarkan faktor kepimpinan, dasar dan pelaksanaan yang baik.

“Terdapat banyak masa sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk semua parti dan pemimpin membuat penyesuaian yang diperlukan bagi memenangi golongan pertengahan itu sebagai laluan ke Putrajaya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut beliau, UMNO juga akan melakukan kesilapan jika berfikir bahawa undi Melayu telah mula berpihak kepada mereka.

Menurutnya, keputusan di kawasan majoriti Melayu di Kuala Kubu Baharu jelas membuktikan sebaliknya dan UMNO dilihat masih kekurangan strategi yang jelas dari segi bagaimana hendak memenangi semula undi Melayu terutamanya dalam kalangan golongan belia.

“PN juga akan tersilap jika berfikir bahawa populariti kerajaan semasa akan membolehkan mereka dengan mudah memenangi semula kuasa dalam PRU16.

“Walaupun mereka sememangnya mempunyai majoriti sokongan Melayu di peringkat nasional, masih belum pasti jika ini akan mencukupi untuk mereka memenangi majoriti kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Terutamanya jika beberapa cabaran kepimpinan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus melemahkan keupayaan parti itu untuk berkempen dan menampilkan diri sebagai kerajaan yang boleh dipercayai pada masa akan datang,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!