Lebih 1,000 kanak-kanak taska, tadika sahut cabaran pecah rekod MBOR

Gambar dari kiri: Mahanom, Hamdan Daniel dan Siti Ruzita.
Gambar dari kiri: Mahanom, Hamdan Daniel dan Siti Ruzita.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) akan menganjurkan aktiviti mewarna melibatkan lebih 1,000 kanak-kanak taska serta tadika seluruh Selangor dalam usaha memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, program yang membawa mesej antirasuah itu akan diadakan di Dewan Raja di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 pada 20 Mei depan melibatkan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.

"Program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan memberi kesedaran rasuah bermula daripada akar umbi bagi pendedahan awal dan menyemai nilai-nilai integriti dalam kalangan kanak-kanak.

"Pendedahan dalam cara dan situasi yang mudah difahami seperti ini amat penting ibarat ditanam kapsul dalam sanubari anak-anak supaya menolak rasuah apabila mereka menginjak ke alam pekerjaan nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Program tersebut dianjurkan oleh MBI dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (JTPPSKNS), Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) dan Rasuah Busters.

Ia menyasarkan minimum penyertaan sebanyak 1,000 kanak-kanak mewakili institusi di Selangor dalam aktiviti mewarna Buku Kreativiti Integriti.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Tadika Islam (Pertim) Selangor yang juga rakan gabungan Rasuah Busters, Siti Ruzita Ramli berkata, sambutan daripada taska dan tadika amat memberangsangkan.

"Kami telah dan sedang menguar-uarkan kepada semua ahli. Sudah ramai yang telah menyuarakan kesediaan untuk turut serta dalam program berskala besar ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengerusi Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor, Mahanom Basri, pihaknya menyambut baik dan sangat gembira serta teruja apabila menjadi rakan kolaborasi program berkenaan.

Ujarnya, program tersebut sangat berkesan bagi menekankan nilai integriti seawal usia.

"Penerapan budaya antirasuah ini ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana umur seperti merekalah amat sesuai untuk dididik ketelusan dan kejujuran.

"Apa yang dipelajari ketika ini seperti amalan murni akan mereka ingati sehingga besar nanti. Bukan sahaja untuk mereka, ia secara tidak langsung bagi menyampaikan mesej kepada ibu bapa dan keluarga anak-anak itu sendiri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!