Serangan 108 hari Israel ragut nyawa 11,000 kanak-kanak di Gaza

Serangan tentera Israel telah membunuh 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita di Semenanjung Gaza dalam tempoh 108 hari. Foto AFP
Serangan tentera Israel telah membunuh 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita di Semenanjung Gaza dalam tempoh 108 hari. Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Serangan tentera Israel telah membunuh 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita di Semenanjung Gaza dalam tempoh 108 hari yang lalu, kata Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Isnin.

Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, di wilayah terkepung itu, seramai 7,000 orang -- 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak -- masih tertimbus di bawah runtuhan atau hilang dalam serangan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bilangan mayat yang sampai di hospital telah melebihi 25,900 manakala 63,000 penduduk Palestin cedera sejak konflik bermula 7 Oktober lepas.

Kira-kira 70,000 rumah telah musnah dalam serangan Israel dan 290,000 lagi rumah tidak dapat didiami.

Mengenai serangan Israel ke atas sektor penjagaan kesihatan, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, 337 pekerja penjagaan kesihatan dan 45 pegawai pertahanan awam telah terbunuh setakat ini.

Dalam tempoh sama seramai 119 wartawan turut terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.

Selain itu, tentera Israel menahan 99 pekerja penjagaan kesihatan dan 10 wartawan manakala dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

Merujuk keadaan tidak berperikemanusiaan di pusat perlindungan penuh sesak di Gaza, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, sebanyak 400,000 kes penyakit berjangkit dan lebih 8,000 kes Hepatitis A telah dikesan akibat pempindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 60,000 wanita hamil di Gaza juga berdepan risiko kritikal kerana ketidakupayaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan manakala 350,000 individu yang menghidap penyakit kronik berdepan risiko kritikal kerana kekurangan ubat-ubatan.

Sejak konflik bermula tentera Israel telah memusnahkan sebanyak 140 kemudahan kerajaan serta 99 sekolah dan universiti manakala 295 sekolah dan universiti rosak sebahagiannya.

Tentera Israel turut merosakkan sebanyak 253 masjid dan menyebabkan kemusnahan tiga gereja.

Israel menyerang 150 institusi penjagaan kesihatan di Gaza menjadikan 53 pusat kesihatan dan 30 hospital tidak lagi berfungsi dan menyebabkan 122 ambulans tidak dapat digunakan.

Israel juga menyerang warisan budaya Palestin, memusnahkan 200 aset sejarah dan budaya di Gaza.

Pejabat Media Kerajaan Gaza turut mengecam tindakan Israel menggunakan lebih 65,000 tan bahan letupan di wilayah itu sejak 7 Oktober lepas. - Bernama-Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!