[VIDEO] Cubaan seludup daging anak babi lebih RM1 juta tumpas

A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup daging anak babi sejuk beku bernilai RM1.04 juta di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, operasi tersebut dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh yang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di pelabuhan berkenaan.

Menurutnya, kontena tersebut pada asalnya diikrar sebagai sayur-sayuran sejuk beku di dalam Borang Kastam 1 malah sebahagian kecil kontena tersebut diisi dengan beberapa kotak mengandungi sayur-sayuran tersebut.

Abdul Ghafar (kanan) menunjukkan kotak berisi sayur-sayuran yang diletakkan di dalam kontena tersebut untuk mengaburi pihak berkuasa untuk menyembunyikan daging anak babi sejuk beku bernilai RM1.04 juta.
Abdul Ghafar (kanan) menunjukkan kotak berisi sayur-sayuran yang diletakkan di dalam kontena tersebut untuk mengaburi pihak berkuasa untuk menyembunyikan daging anak babi sejuk beku bernilai RM1.04 juta.

"Setelah pemeriksaan dilakukan, pasukan penguat kuasa berjaya menemui sebanyak 9,634 bungkus daging anak babi sejuk beku seberat 23,121 kg di dalam kontena tersebut dan tidak sama seperti yang diikrarkan di dalam Borang Kastam 1.

"Pengimportan komoditi sejuk beku ini adalah tertakluk kepada Butiran 1 (1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenal Import) 2017 yang memerlukan permit import dengan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Veterinar," katanya kepada pemberita di Pejabat Kastam Ipoh di sini pada Selasa.

Abdul Ghafar berkata, semasa pemeriksaan dibuat, semua kotak berisi daging berkenaan tidak memiliki pelekat yang sah daripada Maqis.

Menurutnya, daging anak babi tersebut diimport dari Vietnam dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran yang salah dan memalsukan dokumen.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.