Sikap umat Islam punca al-Quran dihina secara terbuka - Sanusi

Muhammad Sanusi beramah mesra dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan Festival al-Quran di Stadium Sultan Abdul Halim.
Muhammad Sanusi beramah mesra dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan Festival al-Quran di Stadium Sultan Abdul Halim.
A
A
A

ALOR SETAR - Sikap umat Islam sendiri pada zaman kini yang terlalu mementingkan diri antara punca kitab suci, al-Quran dihina secara terbuka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia diburukkan lagi dengan sikap segelintir umat Islam yang tiada keberanian atau kesedaran untuk mempertahankan sesuatu berkaitan dengan agama.

Menurutnya, sehubungan itu ajaran al-Quran dan hukum-hakam yang ditetapkan ALLAH SWT wajar dijadikan panduan dalam kehidupan.

“Saya tidak mahu mengungkit cerita-cerita negatif mengenai sikap masyarakat terhadap al- Quran, sedangkan kita tahu, mutakhir ini banyak berlaku kejadian kitab suci ini dihina.

“Islamophobia juga menyebabkan al-Quran dibakar secara terbuka tanpa sebarang rasa takut.

“Ini mungkin kerana sikap orang Islam sendiri, malah dalam sesetengah kes, orang yang berlatar belakangkan Islam pun tergamak menghina al-Quran,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup Festival al-Quran peringkat negeri di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada malam Sabtu.

Muhammad Sanusi beramah mesra dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan Festival al-Quran di Stadium Sultan Abdul Halim.
Muhammad Sanusi beramah mesra dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan Festival al-Quran di Stadium Sultan Abdul Halim.

Muhammad Sanusi berkata, penganjuran festival seumpama ini bukan sekadar mengisi kalendar acara negeri, sebaliknya antara usaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan retorik, tetapi harapan bersungguh-sungguh dari lubuk hati kami ketika membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Exco.

“Saya harap festival sebegini akan capai matlamat untuk jadikan rakyat Kedah sebagai masyarakat yang menghayati al-Quran. Kedah akan menjadi negeri ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’ atau negeri yang diberkati dengan segala kebaikan dengan Rabb yang maha pengampun,” katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat harus menjadikan al-Quran dan hadis Nabi SAW serta qias ulama sebagai budaya dalam kehidupan.

“Membudayakan al-Quran bukan sekadar perbanyakkan bacaan atau hafalan, tetapi menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya. Ia keperluan spiritual yang mengharuskan kita untuk renung makna ayat-ayat-Nya dan aplikasikan dalam tindakan seharian,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, usaha membudayakan al-Quran dalam masyarakat harus dilakukan berterusan agar beroleh panduan, manfaat selain membentuk keperibadian baik.

“Antara yang kita lakukan di Wisma Darul Aman, untuk galakkan pembacaan al-Quran di tempat kerja sekurang-kurangnya satu muka surat setiap hari. Kita mulakan November tahun lepas pada hari bekerja dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah, Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) dan Pusat Dakwah,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut mengajak rakyat Kedah membudayakan bacaan al-Quran di setiap rumah, selain meminta Jabatan Agama Islam Kedah dan Jabatan Pendidikan negeri menjadikan bacaan al-Quran sebagai program tetap harian di sekolah, selain diperluaskan ke setiap masjid dan surau seluruh negeri ini.

“Kita juga perlu rujuk al-Quran dalam setiap keputusan yang kita ambil, dalam setiap tindakan dan setiap hubungan yang kita jalin. Setiap permasalahan kehidupan dapat diatasi dengan menghayati al-Quran sebagai rujukan.

“Festival al-Quran merupakan antara usaha membuka hati masyarakat terhadap keindahan dan kepentingan al-Quran dalam kehidupan. Semoga usaha ini melahirkan minat golongan muda untuk menghayati kitab suci ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sejarah kegemilangan Islam pada zaman lalu juga wajar diangkat dan disuburkan dalam masyarakat, khususnya golongan muda.

“Rekod menunjukkan ramai pengkaji bukan Islam berubah dan beriman kepada ALLAH SWT setelah mereka meneliti al-Quran, antaranya Prof. Dr. Maurice Bucaille, doktor penyelidik Perancis yang memeluk Islam setelah kajiannya mendapati terdapat kesan garam pada mumia Firaun Ramses II.

“Dr Bucaille menjangkakan itu penemuan baharu namun orang Islam sudah tahu perkara itu lebih 1,000 tahun dahulu kerana peristiwa Firaun mati lemas ketika mengejar Nabi Musa di Laut Merah disebutkan dalam al-Quran.

“Sejak itu, Dr Bucaille terus menjalankan pelbagai kajian terhadap al- Quran dan menulis beberapa buku untuk membuktikan isi kandungan kitab suci itu mendahului penemuan sains,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, terdapat banyak lagi penemuan sains yang membuktikan kebenaran al-Quran, yang relevan pada setiap zaman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!