MINDEF serah isu penyelarasan pencen pesara ATM kepada Mahkamah Rayuan

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan isu penyelarasan pencen bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan sebelum 2013 kepada pihak Mahkamah Rayuan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain golongan pesara ATM, isu penyelarasan pencen tersebut turut melibatkan bekas hakim dan bekas kakitangan kerajaan.

“Ini soal dasar, apabila melibatkan gaji dan pencen kita tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Perbicaraan di Mahkamah Rayuan berhubung isu ini akan bermula Januari tahun depan, jadi kita lihat keputusan mahkamah.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga golongan berkenaan telah mengemukakan saman secara berasingan terhadap kerajaan Malaysia membabitkan perkara sama di mahkamah.

“Apa pun, kita tidak mahu penyelarasan pencen bagi bekas hakim lain, tentera lain dan kakitangan kerajaan lain, kerana ia merupakan benda yang tidak sihat. Undang-undang taksiran mahkamah pun tidak akan berbeza sebab melibatkan kes sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Ahad.

Difahamkan, seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet telah memfailkan saman berkenaan pada 17 November 2022 lalu dengan menamakan kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.

Antara permintaan mereka adalah agar pencen pesara ATM sebelum 2013 diselaraskan mengikut kadar pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013 dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, saman yang dikemukakan pesara ATM itu akan dilaksanakan di pejabat peguam negara dan seterusnya akan dimuktamadkan di mahkamah bukan di peringkat kementerian.

“Saman bukan hanya kepada saya seorang...ia juga melibatkan Perdana Menteri dan Majlis Angkatan Tentera.

“Jadi, apabila ia melibatkan tindakan mahkamah, ia akan dilaksanakan Pejabat Peguam Negara dan seterusnya dimuktamadkan di mahkamah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!