Penyelarasan pencen: Mahkamah benar saman pemula 50 pesara ATM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin membenarkan saman pemula yang difailkan oleh 50 pesara ATM terhadap kerajaan, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin membenarkan saman pemula yang difailkan oleh 50 pesara ATM terhadap kerajaan, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan saman pemula yang difailkan oleh 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap kerajaan, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhamad Said memutuskan demikian selepas mendengar hujahan Peguam Persekutuan M Kogilambigai, yang mewakili keempat-empat defendan, dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagi pihak kesemua plaintif.

"Selepas meneliti hujahan dan afidavit pihak-pihak terlibat, mahkamah memutuskan bahawa perintah untuk (penyelarasan pencen) dibenarkan.

"Bagi pesara-pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013, mereka mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pencen mereka diselaraskan mengikut kadar dan cara yang ditetapkan bagi kesemua pesara ATM yang bersara selepas 1 Januari 2013.



"Merujuk kepada Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan perlindungan hak pencen, saya percaya negara kita sememangnya memandang tinggi jasa pihak-pihak yang telah berkhidmat kepada negara dan mereka berhak mendapat pencen yang sepatutnya," kata beliau sambil menambah Majlis Angkatan Tentera perlu merangka struktur baharu bagi menyelaras pencen pesara ATM.

Seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.

Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Mereka juga memohon pencen kesemua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara sepertimana pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013 dan seterusnya, dengan keperluan untuk meminda Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 untuk dimasukkan peruntukan perihal penyelarasan pencen yang baharu seperti diperintahkan oleh mahkamah.

Mereka mendakwa ketidakpenyelarasan pencen itu merupakan satu pelanggaran hak-hak asasi yang dijamin oleh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa mereka terkilan dengan ketidakpenyelarasan pencen berkenaan.

Plaintif mendakwa disebabkan ketidakpenyelarasan pencen itu, berlaku jurang yang ketara antara pesara ATM terbabit dengan mereka yang bersara selepas 1 Januari 2013.
Artikel Berkaitan:


Dakwa mereka, jurang itu turut menafikan hak pesara terbabit untuk menikmati pencen atau kenaikan yang sama dengan pesara ATM lain dan ia merupakan satu perlanggaran hak asasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama