[VIDEO] Belum ada keperluan kurangkan agensi TVET - Ahmad Zahid

A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan belum berhasrat untuk mengurangkan jumlah agensi pelaksana Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada hanya tiga kementerian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana penyelarasan yang telah dilakukan oleh Majlis TVET Negara berjaya memastikan tiada pertindihan berlaku di antara 12 kementerian yang mengendalikan TVET ketika ini.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara yang diselaraskan oleh Majlis TVET Negara dengan kerjasama Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Kerajaan melalui jemaah menteri telah memutuskan Majlis TVET Negara menyelaraskan aktiviti pendidikan TVET di 12 kementerian. Penyelarasan ini telah dilakukan dengan baik dan biarpun ada saranan agar jumlah kementerian yang terlibat ini dikurangkan, namun saya merasakan biarlah ia berjalan dengan acuan yang ada tapi diselaraskan agar tidak berlaku pertindihan kursus-kursus itu dan juga tidak berlaku perebutan tempat untuk masuk ke kursus-kursus tertentu.

"Oleh sebab itu Unit Pusat TVET telah diwujudkan untuk membuka permohonan dalam talian untuk kursus-kursus yang ditawarkan oleh TVET," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid (kiri) bersalaman dengan perwakilan UMNO yang hadir ke majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun pada Ahad.
Ahmad Zahid (kiri) bersalaman dengan perwakilan UMNO yang hadir ke majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, Majlis TVET Negara turut mempunyai sekretariat yang memantau perkara tersebut selain MTUN yang menyelaras universiti-universiti teknikal supaya kursus ditawarkan relevan dengan permintaan pasaran dan pelabur.

Menurutnya, penawaran kursus yang relevan itu penting supaya lepasan TVET boleh terus bekerja selepas tamat pengajian.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kebolehpasarannya terdapat 94.5 peratus yang masuk kursus TVET itu dapat pekerjaan. Ertinya tahun lepas tahun 2022 cuma 93.3 peratus kita nampak peningkatan bagi TVET keseluruhannya.

"Tapi untuk TVET di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), khususnya Mara (Majlis Amanah Rakyat) kebolehpasarannya adalah lebih tinggi iaitu tahun sebelum itu 98.5 peratus dan kini meningkat 99.2 peratus," katanya.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara menjelaskan, baki lepasan yang tidak mendapat pekerjaan bukan tidak menerima tawaran sebaliknya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian.

Sementara itu, beliau berkata, TVET kini juga semakin mendapat perhatian daripada ibu bapa disebabkan kebolehanpasaran pekerjaan.

Malah katanya, berdasarkan maklumat daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, jumlah permohonan kemasukan pelajar ke Kolej Vokasional juga meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini.

"Jadi ertinya TVET yang dulunya dianggap sebagai pilihan kedua, tetapi ramai ibu bapa yang telah menukar fikiran dan menjadikannya sebagai pilihan pertama disebabkan oleh tawaran pekerjaan yang dibuat oleh sama ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau swasta.

"Gaji yang ditawarkan kepada lepasan TVET ini adalah gaji premium dan ini lebih menarik ibu bapa untuk menggalakkan anak-anaknya masuk ke institusi TVET," katanya.

Pada 26 Mac lalu, media melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan TVET yang kini dikendalikan oleh 12 kementerian dan agensi kerajaan dihadkan kepada tiga sahaja.

Malah Sinar Harian pada 1 Mei lalu melaporkan Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) turut menggesa kerajaan melaksanakan revolusi struktur terhadap TVET di negara ini bagi memastikan keperluan tenaga mahir di negara mencukupi.

Pengerusi GILKSB, Nordin Abdul Malek berkata, revolusi struktur yang perlu dilakukan segera adalah menyusun agensi yang mengendalikan TVET kepada hanya tiga kementerian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!