Cukup tiga kementerian kendali TVET - GILKSB

GILKSB menggesa kerajaan melaksanakan revolusi struktur terhadap TVET di negara ini bagi memastikan keperluan tenaga mahir di negara mencukupi. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nordin)
GILKSB menggesa kerajaan melaksanakan revolusi struktur terhadap TVET di negara ini bagi memastikan keperluan tenaga mahir di negara mencukupi. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nordin)
A
A
A

IPOH - Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) menggesa kerajaan melaksanakan revolusi struktur terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini bagi memastikan keperluan tenaga mahir di negara mencukupi.

Pengerusi GILKSB, Nordin Abdul Malek berkata, revolusi struktur yang perlu dilakukan segera adalah menyusun agensi yang mengendalikan TVET daripada 13 agensi kepada hanya tiga kementerian sahaja.

Menurutnya, kementerian yang dicadangkan ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

"Kita perlu lakukan revolusi struktur TVET ini, kerana walaupun kita dilihat antara institusi yang paling banyak menjalankan TVET di dunia dengan 13 agensi dengan lebih 1,500 pusat latihan awam dan swasta yang menjalankan TVET, dengan belanja yang cukup besar dalam RMK11 (Rancangan Malaysia ke-11) sahaja kita telah membelanjakan RM28 bilion. Tetapi akhirnya kita juga antara negara yang paling tercorot penglibatan belia dalam TVET.

"Bagi saya Kementerian Sumber Manusia hanya memfokuskan kepada reskilling, upskilling dan sebagainya. Dari segi ilmu pula, dua lagi kementerian akan menumpukan program-program pembangunan TVET di peringkat sekolah, pengajian tinggi yang sealiran dengan kehendak dan keperluan industri,"katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nordin berkata, kerajaan perlu berani untuk menstrukturkan agensi yang menjalankan TVET bagi memastikan kos dapat dikurangkan memandangkan 70 peratus peruntukan disediakan untuk TVET dalam RMK11 hanya meliputi emolumen.

Katanya, disebabkan jumlah tenaga kerja yang begitu ramai, baki 30 peratus peruntukan yang disediakan tidak mencukupi untuk membangunkan infrastruktur dan menambah baik kelengkapan pembelajaran di institusi kemahiran sedia ada.

Malah menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 turut mendedahkan pencapaian output program TVET masih belum mencapai sasaran di dalam RMK11 apabila mendapati penilaian keberhasilan terhadap keberkesanan program TVET secara menyeluruh tidak dilaksanakan selain terdapat kelemahan pengurusan program itu dalam penyampaian dan akreditasi, perakuan akreditasi, penilaian kecekapan tenaga pengajar dan pengurusan pembiayaan pinjaman pelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat bukan sahaja kita membelanjakan satu jumlah yang cukup besar tetapi kita juga berhadapan dengan masalah keberkesanan program itu tidak dapat dilakukan kerana bertindan fungsi dan punyai karenah birokrasi yang tak boleh dikawal, masing-masing bergerak secara silo, masing-masing mahu menjadi juara. Kita dah sukar untuk mengawal pelaksanaan TVET ini kerana masing-masing mempunyai autoriti, ideologi, nawaitu dan kepentingan.

"Perkara utama yang harus diberikan perhatian adalah isu urus tadbir. Pada hari ini kita sampai terpaksa menubuhkan Majlis TVET Negara.

"Kita mendengar keluhan dan pandangan daripada banyak pihak yang mempunyai minat dan kecenderungan dalam TVET ini supaya diwujudkan juga Suruhanjaya TVET. Semua ini berpunca dari kegagalan kita untuk melaksanakan TVET ini secara cekap, cepat, jimat dan berkesan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nordin turut menggesa kerajaan agar lebih serius dalam melaksanakan konsep kerjasama awam dan swasta membabitkan pembangunan TVET di negara ini.

Jelasnya, terdapat 600 pusat latihan kemahiran berdaftar di bawah Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai pelbagai kepakaran, pengalaman dan kelebihan untuk membolehkan TVET dilaksanakan dengan jauh lebih baik di negara ini.

Beliau berkata, kewujudan pusat-pusat latihan swasta di negara ini perlu dilihat sebagai pelengkap kepada sistem kemahiran negara dan bukan saingan kepada institut latihan awam kerana kepakaran serta pengalaman sebahagian institusi swasta tersebut mendapat permintaan negara luar.

"Apa yang pasti, kerajaan kena betul-betul berani untuk melakukan revolusi struktur. Kerajaan seolah-olah tersepit dengan beban institusi awam yang dilihat akan memberi kesan-kesan politik seandainya penstrukturan itu dibuat.

"Sekiranya kerajaan tidak berani membuat revolusi struktur ini kita akan menjadi lebih teruk pada masa depan dan ini merupakan satu indikator yang buruk terhadap keyakinan pelabur asing dan ekonomi di peringkat antarabangsa," katanya.

Pada 23 April lalu, menerusi laporan khas Sinar Harian mendedahkan bahawa Malaysia perlu melahirkan sekurang-kurangnya 70 peratus graduan bidang teknologi tinggi menerusi institusi TVET dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi keperluan industri.

Laporan khas tersebut turut mendedahkan angka tersebut sepatutnya dicapai lima tahun lalu namun ia tidak dicapai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!