Letupan bom di Thailand: Ejen pelancongan akui terjejas

Susulan letupan bom di Thailand, ramai masuk sendiri manakala ejen pelancongan mengakui permintaan ke sana sedikit terjejas.
Susulan letupan bom di Thailand, ramai masuk sendiri manakala ejen pelancongan mengakui permintaan ke sana sedikit terjejas.
A
A
A

KOTA BHARU - Ejen pelancongan mengakui permintaan untuk melancong ke Thailand sedikit terjejas susulan insiden letupan bom di negara Gajah Putih itu.

Pengurangan itu ekoran orang ramai tidak mahu mengambil risiko apabila kejadian tersebut sudah menular sehingga ke bandar dan lokasi tumpuan penduduk serta pelancong berbanding kawasan kampung sebelum ini.

Seorang ejen pelancongan yang hanya ingin dikenali sebagai Yusoff, 50, berkata, permintaan ke negara jiran itu sedikit merosot terutama melibatkan pelanggan yang terdiri daripada penjawat awam.

"Mungkin mereka sukar mendapat kelulusan apabila ada insiden sedemikian.

"Bagaimanapun permintaan masih ada, terutama melibatkan destinasi ke Hatyai.

"Manakala Pattani dan Narathiwat ramai yang memilih pakej balik hari dan bukannya bermalam," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sementara itu, pemandu pelancong, Wan Mohd Saiful Azwal Wan Mohamed, 38, berkata, hasil pemantauannya mendapati ramai yang masuk ke Thailand sendiri berbanding menggunakan pakej yang ditawarkan.

Ujarnya, walaupun ada insiden berlaku tetapi masyarakat masih merasa selamat untuk ke sana.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, kebanyakan masuk ke negara jiran dengan cara berkonvoi, pandu sendiri kenderaan dan lain-lain.

"Sebagai orang yang selalu berulang alik ke sana, saya menasihatkan supaya lebih berhati-hati dan dapatkan maklumat terkini keadaan di sana," katanya.

Bagi peniaga, Sarimah Mat Amin, 53, dia lebih berhati-hati apabila mengetahui keadaan terkini di Selatan Thailand.

Katanya, dia sering berulang alik ke Thailand untuk mengambil barangan jualan seperti tudung, makanan dan sebagainya.

Dia memberitahu, selepas beberapa kejadian di Narathiwat perjalanannya dipendekkan dan cuba elak untuk bermalam.

"Saya serta suami cuma pergi balik hari, kurang yakin untuk bermalam.

"Bagaimanapun kami sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini keadaan di sana melalui kawan-kawan yang merupakan penduduk tempatan serta media sosial," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Polis Kelantan meminta tangguh dulu ke Thailand jika tiada urusan penting.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jika tidak mempunyai pilihan mereka yang ingin ke negara berkenaan diingatkan supaya sentiasa berhati-hati.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!