Akauntan rugi RM6,300 terpedaya sindiket 'phone scam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL- Seorang akauntan kerugian RM6,300 selepas diperdaya sindiket 'phone scam' yang mendakwa kononnya dia terlibat kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berkata, mangsa wanita berusia 24 tahun yang tinggal di Felda Palong di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Kementerian Komunikasi Putrajaya.

Beliau berkata, individu berkenaan memaklumkan terdapat aduan berkenaan nombor telefon mangsa.

"Katanya terdapat 27 aduan berkaitan nombor telefon mangsa atas kesalahan mengiklankan judi dalam talian dan pelaburan tidak sah di sekitar kawasan Melaka.

"Mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang sarjan yang mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah bercakap pula dengan Inspektor Firdaus dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka Tengah yang memberitahu mangsa terlibat dengan penyelewengan wang dan penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, mangsa turut menerima waran tangkap yang dihantar dalam bentuk format dokumen mudah alih.

"Mangsa diberi dua pilihan untuk menyelesaikan kesalahan tersebut sama ada mengaku atau pun membuat pembayaran secara dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan bimbang kata Chang Hook, mangsa terus membuat pembayaran RM6,300 kepada nombor akaun Maybank (160149181297) atas nama Siti Norazlina yang diberi.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya menyedari menjadi mangsa scammer selepas diminta menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp setiap dua jam sekali.

"Mangsa telah membuat laporan ditipu pada malam Jumaat di IPD Jempol dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!