Indeks permintaan jualan hartanah Malaysia turun 1.1 peratus

Trend pasaran hartanah Malaysia menunjukkan indeks permintaan jualan menurun sebanyak 1.1 peratus manakala, permintaan sewa meningkat sebanyak 2.2 peratus pada suku tahun pertama 2024.
Trend pasaran hartanah Malaysia menunjukkan indeks permintaan jualan menurun sebanyak 1.1 peratus manakala, permintaan sewa meningkat sebanyak 2.2 peratus pada suku tahun pertama 2024.
A
A
A
LAPORAN Pasaran Hartanah (MPMR) menunjukkan indeks permintaan jualan menurun sebanyak 1.1 peratus pada suku pertama tahun ini disebabkan faktor bermusim seperti perayaan.

Trend tersebut turut berlaku pada suku pertama 2023 dan 2022 dengan masing-masing mencatatkan -5.5 peratus dan -2.3 peratus.

Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty (PropertyGuru), Kenneth Soh berkata, walaupun terdapat penurunan namun, pembangunan infrastruktur memberi pengaruh positif kepada subpasaran hartanah tertentu.

Menurutnya, projek Rapid Transit System (RTS) di Johor Bahru dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang merupakan pemangkin dalam meningkatkan permintaan hartanah di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, situasi tersebut mencerminkan pasaran hartanah Malaysia berada pada kedudukan yang stabil sehingga mengekalkan kebolehan untuk beroperasi dengan berkesan dan bukan disebabkan faktor ekonomi semata-mata.

“Laporan pada suku tahun pertama 2024 menunjukkan penurunan suku ke suku sebanyak 1.1 peratus dalam indeks permintaan jualan dan penurunan 4.4 peratus dalam indeks bekalan jualan.

“Pembangunan seperti ini akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk permintaan hartanah dengan mempengaruhi peluang pembangunan dan pekerjaan di kawasan sekeliling.

“Perkara ini penting kepada pengguna untuk mempertimbangkan semua faktor atau pengaruh berkaitan hartanah untuk menganalisis trend pasaran sekali gus membuat keputusan pelaburan di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Kenneth, Kajian Sentimen Pengguna (CSS) separuh pertama (H1) 2024 PropertyGuru Malaysia mendapati, dua daripada tiga responden menjangkakan diskaun 20 peratus untuk hartanah dengan bilangan kemudahan yang rendah.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun harga hartanah kekal tinggi, tetapi kami lebih terbuka untuk berkompromi dengan kemudahan sedia ada untuk membeli hartanah,” ujarnya.

Sementara itu, Kenneth mengulas, permintaan sewa suku tahun pertama 2024 meningkat sebanyak 2.2 peratus dari tahun ke tahun, mencatatkan lonjakan sebanyak 12.4 peratus suku tahun pertama 2023.

Tambah beliau, trend itu disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan hartanah yang bertambah baik, permintaan meningkat di kawasan tertentu dan perubahan pasaran tempatan.

Walau bagaimanapun, indeks bekalan sewa pada suku tahun pertama 2024 menunjukkan pertumbuhan dari tahun ke tahun yang ketara sebanyak 31.3 peratus dan terdapat penurunan 1.8 peratus daripada suku tahun keempat 2023.

Ujarnya, keseimbangan antara bekalan dan permintaan akan mengekalkan kestabilan pasaran apabila mempunyai strategi dan daya tahan bagi menarik lebih banyak pelaburan terutama di kawasan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan infrastruktur yang terancang.

"Situasi ini menunjukkan dinamik pasaran yang kompleks, di mana trend yang bertentangan boleh berlaku walaupun permintaan menurun.

"Sama seperti pasaran jualan,indeks permintaan sewa hartanah kediaman mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus daripada suku ke suku. Ini disebabkan oleh musim perayaan yang biasanya menjejaskan aktiviti penyewaan pada awal tahun.

“Pengaruh bermusim ini terbukti pada suku tahun pertama 2023, apabila indeks permintaan sewa menurun sebanyak 6.2 peratus dan berkemungkinan situasi ini turut berlaku pada suku pertama tahun 2024 apabila terdapat peningkatan harga permintaan sewa serta bekalan hartanah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!