BOD SRC kecewa gagal bawa balik pinjaman dana pelaburan dari luar negara - Saksi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd kecewa apabila pinjaman RM3.6 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) oleh syarikat itu untuk aktiviti pelaburan tidak dapat dibawa masuk dari luar negara, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu di sini hari ini.

Bekas pengarah SRC International Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, 75, mendedahkan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif syarikat, Nik Faisal Ariff Kamil memberitahu BOD bahawa dana tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan tidak akan ada sebarang isu pada masa hadapan.

"Nik Faisal malah membentangkan pelaburan tersebut dan memberi taklimat kepada lembaga pengarah mengenai pulangan pelaburan itu. Beliau malah memberitahu kami bahawa wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa," kata Che Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, dalam saman sivil US$1.18 bilion SRC International terhadap bekas perdana menteri dan Nik Faisal, yang melarikan diri dari negara pada 2018.

Sebelum ini, dalam perbicaraan jenayah SRC International, bekas Penolong Naib Presiden KWAP, Bahagian Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat, memberi keterangan bahawa Najib meluluskan permohonan pinjaman tersebut yang dikemukakan oleh SRC International kepada KWAP untuk digunakan sebagai modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

Untuk rekod, SRC International membuat pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada KWAP antara 2011 dan 2012, dan sebahagian besar daripadanya iaitu RM3.6 bilion telah dipindahkan ke akaun bank Switzerland dan dibekukan ketika ini oleh pihak berkuasa negara itu.

Kepada soalan lain, Che Abdullah juga memberitahu mahkamah bahawa tiada usaha wajar dijalankan ke atas RM1.8 bilion pinjaman KWAP pertama ebelum memindahkannya ke akaun luar pesisir yang didakwa untuk aktiviti pelaburan.

"Pemahaman saya, usaha wajar mesti dilakukan sebelum sebarang aktiviti pelaburan diteruskan. Selepas pelaburan, anda hanya boleh memantau. Wang itu sudah dipindahkan dan apakah lagi usaha wajar boleh dilakukan?," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bulan lepas, bekas pengarah SRC, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang turut dinamakan sebagai pihak ketiga turut menyatakan perkara sama apabila memberitahu mahkamah, syarikat itu gagal melaksanakan usaha wajar ke atas pinjaman RM1.8 bilion terbabit.

Shahrol Azral berkata, tiada usaha wajar dilakukan kerana resolusi pekeliling (DCR) pengarah telah ditandatangani dan diluluskan oleh Najib yang juga perdana menteri dan juga menteri kewangan ketika itu.

Sebelum ini, SRC telah menggugurkan lima bekas pengarah termasuk Che Abdullah daripada saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka dalam saman yang failkan SRC International terhadap beliau.

SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat dan menyalahgunakan dana tersebut.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya dan supaya Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.

Najib, 70, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 20 Mei ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!