Kemal Rizadi dilantik Ahli Lembaga Pengarah SC

Kemal Rizadi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharunya bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa pada 15 Januari 2024.
Kemal Rizadi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharunya bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa pada 15 Januari 2024.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Selasa mengalu-alukan pelantikan Kemal Rizadi Arbi sebagai ahli Lembaga Pengarah baharunya bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa pada 15 Januari 2024.

Dalam kenyataannya pada Selasa, SC berkata, ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Menteri Kewangan dan Lembaga Pengarah bertanggungjawab ke atas keseluruhan tadbir urus suruhanjaya itu serta mempunyai pengawasan terhadap mandat kawal selia dan pembangunannya.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, Kemal yang juga pengamal kewangan dan pasaran modal yang berpengalaman di Timur Tengah dan Malaysia, turut membawa bersama pengalaman yang luas dalam pelbagai sektor bagi manfaat Lembaga Pengarah.

"Pelantikan beliau akan memberi sumbangan besar kepada Lembaga Pengarah SC bagi memberi bimbingan serta pengawasan dalam usaha melindungi pelabur dan mengekalkan pasaran yang teratur dan telus,” katanya.

SC yang juga pengawal selia pasaran modal berkata, Kemal merupakan seorang profesional perkhidmatan kewangan dan korporat dengan pengalaman global selama lebih tiga dekad.

Beliau akan menyumbang kepada fungsi Lembaga Pengarah SC menerusi pengetahuan mendalamnya mengenai penggubalan dasar, pasaran modal Islam, industri kewangan dan pelaburan serta teknologi kewangan atau fintech.

"Kemal pada masa ini merupakan Penasihat dengan kerajaan Oman dan telah berkhidmat dengan Presiden Eksekutif dan Pejabat Naib Presiden Pihak Berkuasa Pasaran Modal, Kesultanan Oman sejak 2013,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah, SC berkata, menerusi pelbagai jawatan kanan di SC sebelum ini, beliau berperanan penting dalam pembangunan pasaran modal Malaysia dan Asean+3 (bersama China, Jepun dan Korea Selatan), termasuk pasaran modal Islam.

"Kemal juga pernah berkhidmat sebagai pengurusan kanan dalam pengurusan aset dan bank pelaburan di Malaysia,” kata SC. - Bernama