Bersih, 58 pertubuhan masyarakat sivil utus surat terbuka buat Anwar

Bersih
Bersih
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bersama 58 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta individu perseorangan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengumumkan pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu dengan segera.

Menerusi surat terbuka itu, Bersih berkata, hal ini kerana dua ahli pesuruhjaya SPR di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan telah dilantik tanpa melalui Parlimen dan ia jelas melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN).

Menurut Bersih, perkara tersebut tidak patut berulang lebih-lebih lagi dalam proses pelantikan pengerusi SPR yang baharu kerana risikonya lebih besar.

“Pengerusi SPR mempunyai kuasa dan budi bicara yang luas untuk memimpin suruhanjaya ini dalam menzahirkan rancangan reformasi pilihan raya.

“Bukan itu sahaja, beliau juga akan berdepan beban baharu untuk menyelesaikan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundian Secara Automatik (PPSA).

“Undi18 dan PPSA menambahkan 6.23 juta pengundi baharu ke dalam daftar pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ia dijangka terus meningkat sekali gus memburukkan pembahagian kawasan tidak sekata di Malaysia,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bersara wajib pada 9 Mei ini sekali gus menjadikan kerusi terpenting dalam suruhanjaya berkenaan dikosongkan, namun masih tiada sebarang reformasi dibuat.

Antara pertubuhan yang turut sama mengemukakan surat terbuka ialah Rasuah Busters, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Artikel Berkaitan:

Individu perseorangan pula melibatkan mantan Exco Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Toh Kin Woon; Brigadier Jeneral (B), Datuk Arshad Raji; bekas pensyarah Politik Ekonomi Universiti Malaya, Dr Edmund Terence Gomez dan Duta IMB Z, Chan Siew Joe.

Bersih juga memaklumkan, pihaknya mempunyai data bahawa pelakaran semula kawasan pilihan raya boleh dibuat bermula sekarang di Sarawak, 2025 di Sabah dan Semenanjung Malaysia pada 2026.

“Dari segi ketidaksamaan undi sebagai contoh, satu undi di kawasan Bangi hanya mempunyai nilai ⅕ 1 undi berbanding di Sabak Bernam atau negeri Selangor yang sama, yang melanggar Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

“Agihan peruntukan tidak setara kepada ahli Parlimen kerana jika menerima RM100,000 untuk berkhidmat di kawasan mereka, setiap pengundi di Tebrau hanya menerima 45 sen berbanding RM2 seorang di Labis atau di negeri Johor yang sama.

“Jika dibiar, perkara ini akan menyebabkan kekecewaan dan kesinisan sekali gus menghakis penyertaan pengundi,” ujarnya.

Justeru, Bersih dan CSO lain berpandangan, Anwar perlu mengumumkan pengerusi SPR baharu yang disaring melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen Hal Ehwal Pilihan Raya melibatkan ahli Parlimen dwipartisan, diluluskan serta dilantik secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Tambahnya, calon perlu memenuhi kriteria seperti adil, berintegriti, mempunyai iltizam untuk melaksanakan reformasi, tidak memegang jawatan utama dalam parti politik, kompeten dan berpengetahuan terhadap hal ehwal pilihan raya.

“Seterusnya memanggil sidang khas Parlimen jika perlu untuk memulakan proses lantikan ini.

“Proses yang adil dan telus dalam pelantikan pengerusi SPR adalah demi kepentingan negara termasuk kerajaan.

“Semua ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang wajib diberikan ruang untuk menyatakan pandangan supaya dapat mengurangkan persepsi campur tangan partisan dalam pelaksanaan persempadanan akan datang,” jelasnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!