Surat terbuka kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM

Azam Baki. Foto Bernama
Azam Baki. Foto Bernama
A
A
A

SAYA Hassan bin Abdul Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang, merangkap anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dibentuk di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009 ingin menyatakan secara terus terang untuk perhatian Tan Sri (Azam Baki) mengenai beberapa perkara menyentuh tugas agensi SPRM akhir-akhir ini.

2. Sebagai seorang anggota JKMR saya menyokong sepenuhnya tindakan SPRM untuk memerangi rasuah.

3.Justeru itu saya menyokong tindakan SPRM menyiasat amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan pelupusan wang haram ke atas semua pihak dari kakitangan awam peringkat rendah sehinggalah kepada bekas menteri, anak kepada bekas Perdana Menteri sehinggalah kepada bekas Perdana Menteri ke-9.

4.Golongan elite yang dahulunya dilihat semacam kebal tidak boleh disentuh oleh agensi SPRM tetapi kini telah dipanggil ke ibupejabat SPRM untuk disiasat.

5. Tetapi saya mempunyai beberapa kemusykilan dan kebimbangan terhadap laporan media berkenaan tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai SPRM untuk perhatian Tan Sri sebagai ketua agensi SPRM.

6.Saya berharap SPRM perlu jalankan tugas dengan professional mengikut undang-undang ketika menjalankan tugas menyiasat.

Tidak boleh gunakan ugutan semasa menjalankan siasatan.

Saya memandang serius tentang aduan Tun Dr Mahathir bahawa anaknya yang disiasat oleh SPRM telah diugut dengan hukuman penjara selama lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Hal seperti ini sepatutnya tidak berlaku.

7. Saya ingin menegaskan bahawa SPRM bukannya badan pendakwaan dan bukannya mahkamah.

Tugas pendakwaan dan hukuman adalah tugas Pendakwa Raya dan juga hakim mahkamah.

Tugas SPRM sama seperti Polis Diraja Malaysia ( PDRM) sebagai agensi penyiasatan yang tertakluk di bawah Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code).

8. Saya ingin memberi pujian kepada SPRM kerana telah menjalankan siasatan berkaitan pendedahan di dalam Pandora Papers dan Panama Papers.

Tetapi saya berharap SPRM mesti adil dan telus. Jangan mereka yang dianggap penentang atau seteru kepada Kerajaan Perpaduan yang berkuasa sekarang sahaja yang disiasat tetapi penyokong dan anggota Kerajaan Perpaduan tidak disiasat.

9. SPRM mesti bersikap telus, professional dan berintegriti dalam menjalankan tugasnya dengan berasaskan kepada prinsip tanpa takut dan pilih kasih.

Sekian, terima kasih.

* Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang merangkap Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)

*Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian.