Saksi runtuhan salji depan mata, detik tidak dapat dilupakan

Mohd Hanif (tengah) berkongsi pengalaman bersama Sinar Harian sepanjang khidmatnya bersama 69 Komando.
Mohd Hanif (tengah) berkongsi pengalaman bersama Sinar Harian sepanjang khidmatnya bersama 69 Komando.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyaksikan runtuhan salji di depan mata menjadi antara detik tidak dapat dilupakan anggota Cawangan Latihan Para 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lans Koperal Mohd Hanif Che Ahmad, 30, semasa terlibat pendakian Gunung Everest, dua tahun lalu.

Menurut Mohd Hanif, beliau antara tiga warga 69 komando yang terlibat dalam misi itu bersama agensi lain.

Mohd Hanif (tengah) berkongsi input berkait 69 Komando kepada pengunjung DSA dan NATSEC 2024 di MITEC Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohd Hanif (tengah) berkongsi input berkait 69 Komando kepada pengunjung DSA dan NATSEC 2024 di MITEC Kuala Lumpur pada Khamis.

"Banyak cabaran perlu ditempuh sebelum serta semasa misi pendakian Gunung Everest.

"Latihan selama tiga bulan antaranya pendakian Gunung Kinabalu, 'rockclimbing, berlari dan joging dengan membawa beban dan macam-macam lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di reruai Pasukan Gerakan Khas 69 Komando pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini pada Khamis.

Tambah bapa kepada seorang anak perempuan berusia setahun lima bulan itu, pengalaman pendakian Gunung Everest dengan menyaksikan runtuhan salji berhampirannya tidak boleh dilupakan.

"Masa itu, 'Sherpa' (pemandu pendakian) menjerit kepada saya untuk segera datang ke arahnya mencari tempat berlindung.

"Memang perasaan terus berdebar, atas nasihat Sherpa, pendakian diteruskan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata jejaka berasal dari Ipoh, Perak itu, rintangan mencabar adalah semasa pendakian dari Camp 1 ke Camp 2 di mana pendaki perlu rentas tangga ke gunung lain dan perlu bergantung tali selain suhu yang mencecah sehingga -11 darjah celsius.

Turut berada di reruai itu ialah Pegawai Trup Komander Skuadron Charlie 69 Komando, Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin.

Reruai 69 Komando turut mempamerkan peralatan senjata selain kelengkapan payung terjun.

Tambah Mohd Hanif, pengalaman lain semasa bertugas dalam 69 Komando ialah penglibatannya dalam terjunan payung terjun semasa sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu di Dataran Putrajaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!