Belum sesuai bincang alih kuasa, biarkan Mahathir: Azmin

Mohamed Azmin Ali meniti jambatan gantung ketika berkunjung ke rumah Suriyani Sharoni untuk Santai Mesra bersama rakyat di Kampung Baitam Baru dekat sini hari ini. -Foto Bernama
Mohamed Azmin Ali meniti jambatan gantung ketika berkunjung ke rumah Suriyani Sharoni untuk Santai Mesra bersama rakyat di Kampung Baitam Baru dekat sini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KIMANIS - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sekarang bukan masanya untuk membincangkan soal transisi atau peralihan kuasa perdana menteri, sebaliknya semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) harus memberi fokus kepada usaha membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata jemaah menteri dan pemimpin PH lain perlu memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui negara, tambahan pula 2020 adalah tahun sangat penting buat Malaysia kerana akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual akhir tahun ini.

"Ini sangat penting bagi kita. Kita perlu memberi kebebasan kepada Tun Dr Mahathir untuk memimpin dan mentadbir kerajaan Persekutuan.

"Sekarang bukan masa yang sesuai (untuk membincangkan mengenai peralihan)... kini masanya bagi kita berbincang dan bekerja sebagai satu pasukan secara kolektif untuk memastikan Malaysia dapat mempamerkan semasa mesyuarat APEC bahawa kita (sebuah negara yang) bersaing dan kita mampu bersaing di pentas global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kupi-Kupi Bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Kampung Pimping, Membakut di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai cadangan beberapa Ahli Parlimen PKR agar peralihan kuasa perdana menteri dibuat pada Mei tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata kerajaan pada hari ini menggalas tugas dan tanggungjawab besar bagi memastikan semua pelan pembangunan yang dirancang di semua peringkat dapat dilaksana untuk manfaat rakyat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Era peralihan kuasa Mahathir-Anwar bermula

Tiada keperluan bincang segera peralihan kuasa PM: Guan Eng

Selain itu, beliau berkata kestabilan politik dan pentadbiran negara juga penting dalam usaha meyakinkan pelabur.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.25 bilion bagi Sabah pada tahun ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Dr Mahathir mahu Sabah mendapat peruntukan lebih besar bagi memastikan negeri ini mempunyai peluang luas untuk lebih membangun, dan komitmen tersebut selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Mohamed Azmin berkata Sabah adalah antara enam negeri selain Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang dikenal pasti sebagai negeri tumpuan bagi memperkasakan lagi pembangunan serta melonjakkan potensi ekonomi negeri.

“Atas sebab itu, kita (kerajaan Persekutuan) akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan saya percaya dengan kerjasama baik ini akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

"Ini sangat penting bagi kita. Kita perlu memberi kebebasan kepada Tun Dr Mahathir untuk memimpin dan mentadbir kerajaan Persekutuan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada program itu hari ini, beliau berkata rakyat Sabah banyak menabur jasa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, justeru, negeri itu seharusnya menerima infrastruktur kelas pertama dan bukannya kemudahan kelas ketiga.

Kementerian akan memberi komitmen penuh dalam memastikan semua keperluan pembangunan di Sabah dapat dipenuhi kerana kerajaan pada hari ini adalah kerajaan yang mahu mengangkat martabat rakyat di negeri itu, katanya. - Bernama