LATAR selenggara, tingkat rondaan elak haiwan berkeliaran

Ahmad Fuad (berdiri kiri) dan Pengarah Kumpulan Syarikat Rafulin, Mohamed Raffe Chekku (berdiri dua dari kiri) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rafulin Holdings Sdn Bhd dan LATAR di Kompleks Operasi LATAR di sini pada Khamis.
Ahmad Fuad (berdiri kiri) dan Pengarah Kumpulan Syarikat Rafulin, Mohamed Raffe Chekku (berdiri dua dari kiri) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rafulin Holdings Sdn Bhd dan LATAR di Kompleks Operasi LATAR di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) sentiasa membuat penyelenggaraan pagar keselamatan dan melakukan rondaan secara berkala bagi mengelakkan haiwan ternakan berkeliaran meragut rumput di bahu lebuh raya berkenaan.

Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, pihaknya sentiasa memantau perkara itu bagi mengelakkan pencerobohan haiwan ternakan.

Menurutnya, LATAR memandang serius sekiranya terdapat pagar keselamatan di lebuh raya itu rosak atau pun runtuh.

"Kita akan melakukan pemantauan di semua kawasan berpagar bagi mengelakkan haiwan terlepas ke lebuh raya," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rafulin Holdings Sdn Bhd dan LATAR di Kompleks Operasi LATAR di sini pada Khamis.

Ahmad Fuad memberitahu, pencerobohan haiwan ternakan boleh membahayakan nyawa pengguna lebuh raya.

"Biasanya kawasan berpagar ini dapat mengawal haiwan seperti lembu dan kambing, tetapi kita berdepan kesukaran mengawal haiwan liar seperti anjing serta monyet.

"Namun, kita akan memastikan lebuh raya ini selamat untuk pengguna dan isu ternakan ini tidaklah signifikan serta merupakan kes terpencil," jelas beliau.

Ditanya mengenai kemalangan membabitkan pengguna jalan raya berlanggar dengan haiwan di laluan LATAR, Ahmad Fuad menjelaskan, terdapat tiga kes membabitkan kemalangan itu dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan kes berlaku membabitkan kemalangan motosikal, namun tiada kes mendatangkan kematian," tambahnya.

Beliau memberitahu, sebanyak RM35 juta setahun diperuntukkan LATAR bagi kos operasi dan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Kos penyelenggaraan dan operasi menepati dan mengikut bajet yang telah kita peruntukan," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, jumlah trafik di LATAR mencatatkan rekod tertinggi iaitu 137,000 pengguna kenderaan dalam sehari pada 1 Mei lalu.

"Jumlah trafik lebih tinggi pada hujung minggu iaitu sebanyak 60 peratus berbanding hari biasa.

"Bagaimanapun, aliran trafik di LATAR tidak menyebabkan berlakunya kesesakan yang mengambil masa lama di lebuh raya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!