Penjualan asid pekat dikawal - Penganalisis jenayah

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM – Tiada larangan kepada orang awam untuk membeli asid jenis kuat yang dijual di pasaran untuk kegunaan tertentu, namun ia dikawal menerusi Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, orang ramai diwajibkan mengisi nama dan identiti diri mereka ketika melakukan pembelian bahan kimia berkenaan yang lazimnya dijual di kedai perkakasan logam atau ‘hardware’ berpermit.

“Mengikut peraturan yang ditetapkan sebagai bahan kawalan, asid jenis kuat ini perlu dipamerkan dan disimpan dalam almari berkunci.

“Kalau ada individu yang nak beli, mereka perlu panggil jurujual dan perlu isi nama dalam buku yang disediakan sebagai satu rekod pembelian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Isu asid ketika ini mendapat perhatian selepas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, disimbah asid sulfurik pekat dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, Selangor, pada Ahad lalu.

Laporan Sinar Harian pada 8 Mei.
Laporan Sinar Harian pada 8 Mei.

Akibat insiden itu, Faisal yang juga tonggak utama Selangor FC mengalami kelecuran tahap empat di muka dan beberapa anggota badan.

Mengulas lanjut, Kamal Affandi berkata, asid jenis kuat terurai sepenuhnya dalam air menjadi ion hidrogen manakala asid lemah hanya terurai sebahagian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara contoh asid kuat tersebut ialah hidroklorik, nitrik serta sulfurik yang biasanya digunakan dalam industri pengeluaran contohnya untuk menghakis kepingan aluminium dan menghilangkan saduran serta cat.

Katanya, seperti diketahui sifat asid adalah menghakis justeru, jika tinggi tahap kecairannya maka sifat hakisannya itu lebih tinggi.

“Secara umumnya asid terbahagi kepada dua iaitu asid kuat dan asid lemah yang masing-masing mempunyai banyak kegunaan dalam industri dan juga dalam kehidupan kita seharian.

“Jadi bagi asid jenis kuat ia boleh menyebabkan badan melecur sehingga tahap empat dan melarutkan tisu-tisu badan dan tulang hingga boleh membawa kematian” ujarnya.

Kamal Affandi menambah, contoh asid lemah pula seperti karbonik yang biasanya digunakan sebagai pencuci dan peluntur.

“Bagaimanapun, kesan asid lemah tidaklah seperti asid kuat.

"Kalau terkena kulit, ia akan menyebabkan kegatalan dan jika terhidu wapnya pula boleh beri kesan kepada saluran pernafasan seperti sesak nafas,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!