Piala Sumbangsih: JDT kecewa keputusan Selangor FC tarik diri

Kenyataan JDT di laman rasmi Facebook kelab itu.
Kenyataan JDT di laman rasmi Facebook kelab itu.
A
A
A

KELAB bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) kecewa dengan keputusan Selangor FC yang menarik diri daripada saingan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, kelab itu mengharapkan Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut kerana pihak polis telah memberikan jaminan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong pada hari perlawanan.

"Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir perlawanan ini kerana ianya boleh menetapkan 'precedent' untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis Diraja Malaysia.

"Kami pernah diserang dalam keadaan yang 'hostile' di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi kami masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

"Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Selangor FC telah membuat permohonan kepada Liga Bola Sepak Malaysia untuk menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan pemain utamanya, Faisal Halim yang disimbah asid selain ugutan yang diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

Bagaimanapun, MFL menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor FC membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

Alistair berkata, semua pihak sepatutnya meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa terutama dalam menyiasat kes yang berlaku selain menjaga keselamatan memastikan saingan liga musim ini berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Meksipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!