Lantik pakar, konsultan pantau pokok di bandar

Azlan Ariff. Laporan Sinar Harian
Azlan Ariff. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil inisiatif dengan melantik pakar atau konsultan landskap dan pengurusan fasiliti bagi mengelakkan insiden pokok tumbang sehingga meragut nyawa baru-baru ini berulang pada masa hadapan.

Pensyarah Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Ts Azlan Ariff Ali Ariff berkata, ia berikutan mereka mempunyai kepakaran dan perancangan yang lebih tepat dari segi pembangunan bandar serta landskap.

“Untuk jangka masa panjang, ia boleh dimantapkan lagi dengan mewujudkan jawatan tetap pakar lantikan dalaman PBT yang akan bertanggungjawab bagi penyelenggaraan dan ameniti di bawah bahagian perancang bandar.

“Dalam kes seperti ini, masalah berpunca daripada perancangan kerana pokok tersebut sebenarnya dikelilingi pejalan kaki konkrit. Apabila pokok ini besar dan akar sampai tempoh matang, ia akan terkeluar dari permukaan tanah.

“Keadaan ini menyebabkan ia mudah reput dan struktur akar tidak lagi mencengkam tanah, akhirnya pokok mudah tumbang lebih-lebih lagi semasa cuaca buruk,” katanya pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang maut sementara seorang lagi cedera dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur manakala 17 kenderaan dan landasan monorel turut terjejas.

Pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.19 petang.

Mengulas lanjut, Azlan Ariff berkata, kepakaran dalam arborikultur juga diperlukan untuk menentukan jangka hayat dan jenis pokok yang sesuai untuk ditanam atau dikekalkan di kawasan bandar agar tidak mengundang bahaya kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Pokok mempunyai jangka hayat tertentu tetapi bagaimana ia boleh menyumbang terhadap kelestarian bandar kerana kita tidak boleh lari daripada pembangunan. Disebabkan ini, kita memerlukan pakar arborist untuk menentukan pokok atau tumbuhan yang sesuai.

“Selain itu, langkah lain yang boleh dibuat termasuklah menggunakan tumbuhan sebagai penyejuk bandar dengan menjadikan bumbung sebagai kawasan hijau atau taman, jadi pembebasan karbon masih boleh diserap.

“Penanaman tumbuhan memanjat dan menjalar seperti pokok duit-duit (pothos) dan ara jalar sebagai fabrik fakad bangunan juga inisiatif yang baik,” ujarnya.

Menurut Azlan Ariff, Malaysia perlu mempertimbangkan potensi dan penggunaan alga untuk dijadikan bahan kelestarian bandar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju.

Tambahnya, walaupun kajian mengenai alga masih kurang di negara ini, namun ia mempunyai kebolehan menyerap lebihan karbon atau sebarang pencemaran terutamanya di kawasan bandar.

“Kewujudan pokok atau tumbuhan di kawasan bandar tidak dapat diketepikan kerana ia memainkan peranan penting untuk menyejukkan persekitaran dan mengurangkan suhu antara tiga hingga lima darjah Celsius.

“Kawasan bandar sememangnya dalam kawasan hutan konkrit. Kalau tidak ada pokok, haba daripada bangunan akan dipantulkan ke bangunan lain dan tiada elemen yang boleh menyerap haba.

“Pokok perlu ada dalam kawasan bandar untuk mengurangkan pembebasan karbon kerana pokok ini sendiri akan menyerap dan membebaskan oksigen kepada persekitaran bandar,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!