PAM gesa kerajaan bina reka bentuk bandar berdaya tahan iklim

Tangkap layar laporan kejadian pokok berusia lebih 50 tahun yang tumbang sehingga meragut satu nyawa pada Selasa. Gambar kecil: Ar Adrianta
Tangkap layar laporan kejadian pokok berusia lebih 50 tahun yang tumbang sehingga meragut satu nyawa pada Selasa. Gambar kecil: Ar Adrianta
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk membina reka bentuk bandar berdaya tahan iklim sebagai satu usaha menjaga keselamatan dan infrastruktur awam.

Presiden Persatuan Arkitek Malaysia (PAM), Ar Adrianta Aziz berkata, kejadian pokok tumbang di ibu negara pada Selasa membuktikan kelemahan dalam pengurusan tanaman dan tiada mempunyai persediaan rapi untuk menghadapi cuaca buruk.

Justeru, beliau mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa supaya mewujudkan garis panduan untuk menambah baik pengurusan pokok di bandar.

"Kerajaan tempatan perlu menjalankan penilaian pokok dengan lebih komprehensif dengan melantik lebih ramai 'doktor pokok' untuk memantau keadaan atau kesihatan pokok di tempat awam.

"Ia sebagai salah satu kaedah terbaik bagi mengenal pasti pokok mana yang perlu ditebang dan menggantikannya dengan tanaman baharu di lokasi berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang maut sementara seorang lagi cedera dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada Selasa.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, pokok tumbang di lokasi berkenaan dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun dan berada di bawah pemantauan pihak swasta.

Ujarnya, pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ar Adrianta berkata, dasar pengurusan tanaman perlu diwujudkan bagi membantu pengurusan, penyelenggaraan dan perlindungan pokok jalanan supaya ia kekal selamat dalam jangka masa panjang.

Ujarnya, kerajaan juga boleh memupuk penglibatan komuniti atau badan profesional seperti PAM dalam proses membuat keputusan berkaitan pokok jalanan pengurusan mengikut akta Agenda Tempatan 21.

"Galakkan inisiatif penanaman pokok yang sesuai di kawasan bandar dengan mengambil kira faktor seperti kebolehsuaian, biodiversiti dan bandar daya tahan.

"Selain itu, persediaan kecemasan untuk menghadapi perubahan iklim perlu ditingkatkan menerusi kerjasama daripada pihak berkepentingan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, DBKL dan lain-lain," ujarnya.

Tambah beliau, arkitek dalam PAM merupakan ahli terkemuka dan profesional yang sentiasa bersedia untuk membantu memberi nasihat berkaitan reka bentuk bandar berdaya tahan termasuk perancangan serta pembangunan semula infrastruktur sedia ada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!