Skim takaful kurangkan beban petani

Azman (tengah) bertemu petani pada Majlis Dialog dan Perasmian Penuaian Tanaman Padi sempena Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) IADA Kemasin, Semerak pada Selasa.
Azman (tengah) bertemu petani pada Majlis Dialog dan Perasmian Penuaian Tanaman Padi sempena Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) IADA Kemasin, Semerak pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Skim Takaful Tanaman Padi yang dijangka diperkenalkan tahun ini kepada pesawah padi di seluruh negara mengurangkan beban kerugian yang ditanggung akibat bencana alam.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Azman Mahmood berkata, skim yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Agro Bank itu juga antara usaha membantu petani yang terkesan selepas tanaman padi mereka terjejas.

"Kemarau di beberapa negeri mengakibatkan ramai petani berdepan kerosakan tanaman akibat cuaca panas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Dialog dan Perasmian Penuaian Tanaman Padi sempena Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) IADA Kemasin, Semerak pada Selasa.

Azman memberitahu, sebelum ini melalui Tabung Bencana Tanaman Padi, petani menerima pampasan sebanyak RM846 bagi tiga hektar pertama untuk padi yang berumur bawah 71 hari manakala RM1,800 bagi tanaman yang melebihi tempoh itu.

Bagaimanapun katanya, pampasan itu merupakan penyelesaian jangka pendek.

"Justeru, untuk jangka panjang Skim Takaful Tanaman Padi akan diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam masa terdekat," katanya.

Azman menjelaskan, skim berkenaan memberi peluang kepada petani untuk mendapat pampasan tidak melebihi 20 hari.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kerajaan juga bakal menetapkan harga belian padi kepada RM1,600 bagi setiap satu tan metrik berkuat kuasa tahun ini susulan kos penanaman padi yang meningkat.

Tambah beliau juga, kos berkenaan lebih tinggi berbanding harga semasa sebelum ini iaitu RM1,400.