LMS pertama TLDM, KD Keris tiba di Pangkalan TLDM

KD Keris tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dari China pagi semalam. - Foto Facebook TLDM
KD Keris tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dari China pagi semalam. - Foto Facebook TLDM
A
A
A

KOTA KINABALU - Kapal Misi Pesisir (LMS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Kapal Diraja Keris (KD Keris) selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dari China pagi semalam.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, kapal berkenaan telah memulakan pelayaran ke Malaysia pada 8 Januari lalu.

“Projek Perolehan LMS ini telah mencorakkan dimensi baharu dalam sistem kesiagaan TLDM untuk melaksanakan peranannya yang semakin meluas dan mencabar bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan perairan negara, khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

“Sebagai sebuah negara maritim, keselamatan perairan negara amat penting dan perlu diberi keutamaan bagi menjamin kestabilan dan keamanan sentiasa terpelihara agar aktiviti maritim dan ekonomi dapat direalisasikan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan KD Keris di sini semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

KD Keris mula dibina pada 31 Julai 2018 di Wuhan, China dan dilancarkan oleh Normah Alwi iaitu isteri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 15 April 2019.

Mengulas lanjut Mohd Reza berkata, LMS adalah sebuah daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada 15 ke-5 TLDM.

“Kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac, 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Artikel Berkaitan:

“Projek ini adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China dengan kapal kedua iaitu Sundang dijadual diserahkan pada April 2020 manakala kapal ketiga dan keempat dijadual diserahkan pada pertengahan 2021,” tambahnya. - Bernama