RM900 juta baki interim akan dibayar kepada Sabah 30 November - Masidi

A
A
A

KOTA KINABALU - Baki bayaran interim RM900 juta berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan dibayar pada Isnin depan iaitu sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang pada awal Disember ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Ya, saya baru dimaklumkan Perdana Menteri sendiri menelefon Ketua Menteri untuk menyampaikan pesanan kepada saya bahawa beliau akan memastikan peruntukan tambahan RM900 juta itu diterima sebelum Dewan bersidang.

"Yang terbaru, saya dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa kemungkinan ia dibayar pada 30 November ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah Kepada Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam Bagi Tahun 2026 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan Pakatan Harapan (PH) Sabah kepada kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan baki bayaran interim sebanyak RM900 juta sebelum DUN bersidang pada 4 Disember depan.

Masidi berkata, pembayaran tersebut akan membantu kedudukan kewangan negeri, sekali gus membolehkan kerajaan mempunyai tambahan peruntukan untuk membiayai pelbagai keperluan pembangunan Sabah.

"Ya memang banyak membantu dan ini yang kita mahu. Benda yang mudah untuk buat keputusan, kita buat keputusan dengan cepatlah,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Belanjawan Sabah akan datang mempunyai peruntukan lebih besar susulan tambahan hasil berkenaan, Masidi berkata, kedudukan pendapatan negeri masih bergantung kepada turun naik hasil daripada sektor minyak mentah dan minyak sawit yang menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan hasil Sabah.

Katanya, kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa, termasuk kesan konflik di Iran, tidak semestinya meningkatkan pendapatan negeri berikutan faktor kadar pertukaran mata wang asing, khususnya nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun harga minyak antarabangsa tinggi, ringgit kita juga berada pada tahap yang tinggi. Kita menjual minyak dalam dolar Amerika Syarikat, tetapi apabila bayaran dibuat kepada kita, ia ditukar kepada ringgit.

"Jadi, pertukaran itu menjadi salah satu faktor. Kalau nilai ringgit kita tinggi, ia tidak semestinya mengakibatkan pertambahan dari segi pendapatan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan pembentangan Belanjawan Sabah, Masidi berkata, kementeriannya kini giat meneliti setiap perincian perbelanjaan yang akan dimasukkan.

"Pegawai saya dan saya sendiri, kita sekarang ini dalam proses 'overtime', kerja di luar masa biasa untuk meneliti setiap item yang perlu dimasukkan dalam bajet.

"Kita mahu supaya persediaan ini dibuat secara teliti agar kita dapat membentangkan bajet yang betul-betul mencerminkan kedudukan kewangan kita.

"Cerminan itu orang kata keutamaan kita dalam membuat perbelanjaan. Dalam masa yang sama, kita juga memastikan bahawa perbelanjaan besar walaupun penting bagi menyelesaikan pelbagai masalah infra asas, tetapi dalam masa yang sama, perbelanjaan ataupun penggunaan wang tersebut dibuat secara berhemat," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!