Kekurangan doktor: Anak Sabah belajar perubatan dipertimbang biasiswa negeri

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan memastikan lebih ramai anak negeri ini berpeluang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kekurangan doktor di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setiap anak Sabah yang memenuhi syarat untuk mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) layak dipertimbangkan untuk menerima biasiswa kerajaan negeri.
"Ini merupakan pendirian yang diambil oleh Kabinet. Memandangkan ramai doktor dari Semenanjung tidak bersedia berkhidmat di Sabah, maka satu-satunya penyelesaian jangka panjang ialah memastikan lebih ramai doktor berasal dari Sabah.
"Justeru, kita akan memastikan setiap anak Sabah yang memenuhi syarat untuk mengikuti pengajian perubatan di UMS layak dipertimbangkan untuk menerima biasiswa kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah Kepada Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam Bagi Tahun 2026 di sini, pada Selasa.
Masidi berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sektor pendidikan menerusi penyediaan peruntukan besar bagi tahun ini dan tahun hadapan, meskipun bidang berkenaan bukan sepenuhnya di bawah pengurusan kerajaan negeri.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan isu kekurangan doktor di Sabah semakin membimbangkan apabila hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar negeri yang dijangka ditempatkan di hospital seluruh Sabah sudah melapor diri.
Mengulas mengenai langkah menarik lebih ramai doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah, beliau berkata, masalah sebenar bukan semata-mata keengganan mereka datang ke negeri ini, sebaliknya terdapat doktor yang memilih meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk menyertai sektor swasta atau membuka klinik sendiri.
"Isu paling besar ialah apabila mereka sudah berkhidmat untuk beberapa tahun dan layak mendapat pengesahan jawatan, tetapi mereka memilih untuk tidak menerima pengesahan tersebut.
"Ini kerana pada ketika itu, ramai antara mereka sudah berkahwin. Jadi, bukan mudah untuk mereka meninggalkan anak-anak atau pasangan masing-masing di negeri asal," katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Sabah berdepan kekurangan doktor yang boleh digerakkan atau ditempatkan untuk berkhidmat di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat gesaan daripada beberapa pertubuhan termasuk organisasi perubatan yang menawarkan khidmat sukarela untuk datang berkhidmat di Sabah dan kini sedang bekerjasama dengan jabatan berkaitan bagi meneliti pelaksanaannya.
"Selain itu, terdapat kumpulan doktor baharu yang layak dihantar ke Sabah, tetapi mereka hanya akan tersedia sekitar Februari tahun depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
