Bukan sekadar kuda berhias

KOTA BELUD - Dengusan kuda sesekali kedengaran, berselang-seli dengan derapan tapak kaki serta gemerincing loceng yang mencuri perhatian pengunjung Tamu Besar Kota Belud yang diadakan baru-baru ini.
Di bawah terik matahari, kuda-kuda yang dihiasi kain serta perhiasan berwarna terang tampil lebih menyerlah dan mudah dilihat pengunjung dari tepi Padang Kota Belud.
Penunggang turut kelihatan segak mengenakan pakaian tradisional, melengkapkan keunikan peragaan kuda berhias yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Bajau Samah di daerah ini.

Sejak turun-temurun, kuda merupakan sebahagian daripada identiti budaya masyarakat di daerah ini, bukan sahaja sebagai haiwan tunggangan, tetapi turut memainkan peranan dalam adat istiadat termasuk majlis perkahwinan yang masih diteruskan sehingga ke hari ini.
Norhafizan Hajali, 31, dari Kampung Kota Peladok berkata, kudanya yang dinamakan Queen Kota berusia empat tahun bukan sahaja digunakan dalam peragaan kuda berhias, malah turut menyertai perlumbaan serta digunakan dalam adat perkahwinan masyarakat setempat.
“Dia (Queen Kota) salah satu kuda pacu lumba, tapi kategori kampunglah. Selain itu, dia juga digunakan kalau ada orang kahwin.
“Kalau tradisi perkahwinan, selalu kita akan dipanggil untuk mengiringi usungan. Kuda akan berada di depan dan memakai pakaian tradisi kuda,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Norhafizan berkata, penglibatannya dalam acara tersebut bukan sesuatu yang baharu apabila dia merupakan generasi kelima keluarganya yang masih meneruskan warisan sejak zaman berzaman itu.
Katanya, kemahirannya dalam mengendalikan kuda juga dipelajari melalui latihan dan tunjuk ajar orang yang lebih berpengalaman.
“Untuk mengawal kuda, saya banyakkanlah latihan dan belajar daripada orang-orang lama.
“Saya adalah generasi kelima dalam keluarga bagi meneruskan acara kuda berhias. Jadi dengan adanya tamu-tamu besar begini, insya-ALLAH kalau tiada halangan, tradisi ini akan terjagalah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penunggang, Ahmad Ainul Hakeem Sabran, 23, yang bekerja di sebuah hotel di Kota Kinabalu, melihat penganjuran Tamu Besar Kota Belud sebagai platform penting untuk memperkenalkan adat istiadat masyarakat setempat kepada generasi muda, selain menjadi ruang pertemuan pelbagai kaum.
“Saya rasa anjuran seperti ini sangat dititikberatkan untuk meningkatkan semangat dan pengetahuan generasi baharu tentang adat istiadat Kota Belud.
“Sebab acara sebegini ia dirancang dan diadakan hanya setahun sekali pada hujung tahun.
“Lagipun, acara seperti ini dapat menyatukan pelbagai kaum seperti kaum Cina, Bajau, Dusun dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ahmad Ainul Hakeem, mengendalikan kuda juga memerlukan hubungan yang rapat antara haiwan itu dengan penjaganya.
Oleh itu, katanya, dengan membawa kanak-kanak ke acara berkenaan adalah pendedahan awal untuk generasi akan datang mengenai kuda berhias supaya tradisi masyarakat setempat terus dikenali.
“Ini sebenarnya untuk pendedahan awal bagi mengenal erti istiadat Kota Belud dan salah satunya menerusi acara yang besar seperti ini.
“Supaya tidak dilupakanlah, supaya tradisi ini diteruskan bagi generasi muda yang akan datang,” katanya.
Di sebalik kemeriahan Tamu Besar Kota Belud, kehadiran penunggang muda seperti Norhafizan dan Ahmad Ainul Hakeem memperlihatkan bahawa tradisi kuda berhias masih mempunyai tempat dalam masyarakat Bajau Samah, sekali gus menjadi penghubung warisan turun-temurun dengan generasi hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
