SSP gesa penganjur DSA, NATSEC lebih sensitif isu Palestin

Tian Chua (kiri) semasa berhimpun di hadapan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada Selasa, bagi membangkitkan isu berkait syarikat yang didakwa terlibat dengan kekejaman Zionis.
Tian Chua (kiri) semasa berhimpun di hadapan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada Selasa, bagi membangkitkan isu berkait syarikat yang didakwa terlibat dengan kekejaman Zionis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekreteriat Solidariti Palestin (SSP) menggesa agar pihak penganjur Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 lebih sensitif terhadap konflik dan penderitaan rakyat di Palestin.

Jurucakap SSP, Tian Chua berkata, atas nama solidariti semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan tidak boleh berfikir mengenai keuntungan wang ringgit semata-mata.

“Pemeliharaan nyawa manusia perlu dijadikan keutamaan di hadapan sebarang kepentingan perniagaan,” katanya ketika berhimpun di hadapan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan terdapat pembabitan syarikat pembuat senjata yang sertai DSA dan NATSEC Asia 2024 di sini, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan.

Tambahnya, walaupun kepakaran syarikat terbabit diperlukan bagi memperkasakan pertahanan negara, namun pihak penganjur perlu lebih sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, tindakan pihak penganjur yang menjemput syarikat terbabit secara langsung dengan konflik Palestin-Israel tidak adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima rakyat Malaysia.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kementerian Pertahanan mengambil tindakan tegas dan mengarahkan syarikat yang menjadi pembuat senjata kepada Zionis untuk keluar dari Malaysia dengan segera.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sama sekali tidak akan membenarkan mana-mana syarikat yang berdaftar di Israel untuk melakukan sebarang aktiviti di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tegas Anwar, dua syarikat yang didakwa membekalkan senjata kepada rejim Zionis iaitu Lockheed Martin dan BAE System tidak berdaftar di Israel sepertimana syarikat perkapalan ZIM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!