Penganjuran DSA, NATSEC catat perolehan RM9.4 bilion

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perolehan berjumlah RM9.4 bilion berjaya diperoleh menerusi penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kontrak atau urus niaga yang dimeterai sepanjang penganjuran pameran selama empat hari itu merupakan satu pencapaian berimpak tinggi.

Beliau berkata, pencapaian daripada hasil kerjasama tersebut membolehkan pelbagai perolehan aset berjaya diraih termasuk kapal pengangkut pelbagai guna, kapal induk polis serta enam helikopter.

"Perolehan ini dilihat penting dalam membantu meningkatkan aset pertahanan negara.

"Malah ia juga sangat bermakna untuk proses penugasan kawalan di perairan negara yang sangat luas, seterusnya menjadikan ia diurus dengan baik.

"Untuk penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2024 ini, jumlah perolehan dicapai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM2.1 bilion," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup DSA dan NATSEC Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pembekalan perolehan melibatkan kamera badan yang akan dibekalkan kepada pihak berkuasa negara bakal memberi keyakinan kepada masyarakat umum.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan seumpama itu boleh memastikan tahap integriti pihak penguat kuasa terpelihara semasa melaksanakan tugas di lapangan.

Tegasnya lagi, ia juga akan dapat meningkatkan keberkesanan proses penguatkuasaan undang-undang.

"Semua ini akan memberi nilai tambah kepada semua agensi penguatkuasaan negara," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan memperoleh urus niaga kontrak dan perjanjian berjumlah RM7.3 bilion daripada penganjuran pameran Asia tersebut.

Menurut beliau, ia membabitkan masing-masing tujuh Surat Setuju Terima (LoA) bernilai RM3.3 bilion dan kontrak dengan nilai keseluruhan RM1.9 bilion.

Selain itu menurutnya, sebanyak empat Surat Niat (LoI) bernilai RM1.83 bilion, sebanyak 10 Memorandum Persefahaman (MoU) antara pelbagai tempatan, organisasi serantau dan antarabangsa dan pemain berjumlah RM0.28 bilion serta dua Sijil Sistem Integriti Korporat Malaysia.

“Saya mengulangi bahawa pelaburan dan penciptaan nilai yang disaksikan semasa sepanjang minggu ini masih berkembang dan dijangka mencatatkan angka yang lebih tinggi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana tidak berbelah bahagi komitmen, kepercayaan dan sokongan berterusan kepada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan pemain industri pertahanan kita," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!