Negeri Sembilan belum ada perancangan buka kilang NR-REE

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan masih belum mempunyai perancangan secara khusus untuk membuka kilang bagi memproses sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan (PH-Sikamat), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat syarikat atau pelabur luar negara yang berminat untuk membina kilang pemprosesan itu.

Malah katanya, pihaknya yakin dengan usaha tersebut secara tidak langsung membantu membangunkan industri NR-REE di peringkat pertengahan.

"Pada masa ini juga, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memutuskan pelaksanaan moratorium bagi aktiviti pengeksportan bahan mentah NR-REE sebagai inisiatif untuk membangunkan industri NR-REE di peringkat pertengahan.

"Pelaksanaan moratorium pengeksportan ini adalah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 dan akan dinilai setiap enam bulan," katanya pada Persidangan Pertama Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan yang ke-15 di sini pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan Adun Paroi (PN- Paroi),Kamarol Ridzuan Mohd Zain berhubung pembukaan kilang memproses REE memandangkan negara mempunyai pakar tempatan untuk memproses bahan mentah REE.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memaklumkan pengeluaran NR-REE di Malaysia pada ketika ini bertumpu di peringkat huluan.

"NR-REE ini di eksport ke negara China secara mentah (RE Carbonate) dan di sana nanti proses pengasingan bagi setiap logam yang terkandung dalamnya dibuat bagi menghasilkan produk hiliran seperti magnet logam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya telah meluluskan permohonan kerajaan negeri bagi projek pembinaan lebuh raya bertingkat dari Tol Senawang ke susur keluar Lebuhraya Kajang-Seremban berhampiran Taman Tasik Jaya di sini.

"Kementerian sedang dalam peringkat pertimbangan mengenai harga tawaran kos pelaksanaan projek tersebut," katanya menjawab soalan P Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) yang mahu tahu perkembangan terkini mengenai perbincangan pembinaan projek berkenaan.