PDRM pertingkatkan kemahiran banteras jenayah siber, dadah

Ayob Khan.
Ayob Khan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kemahiran secara berterusan bagi membanteras jenayah siber dan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pencegahan secara total jenayah siber dan penyalahgunaan dadah terbukti sukar namun PDRM terus cekal dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Kita menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, penguat kuasa undang-undang antarabangsa dan ahli akademik.

“Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat, perkembangan kapasiti dan koordinasi dalam kerjasama bagi membanteras jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, pada Selasa.

Ayob Khan berkata, menerusi seminar itu agensi penguatkuasa tempatan dan antarabangsa dapat berkongsi pendapat bagi menangani jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan dadah.

"Perkembangan pesat teknologi dan akses internet secara global menjadikannya satu ancaman baharu bagi agensi penguat kuasa.

“Jenayah siber dan penyalahgunaan bahan psikosis baharu (NPS) memberikan cabaran kepada masyarakat berikutan impaknya yang serius terhadap pembangunan sosial dan ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkembangan pesat kemudahan teknologi maklumat malangnya meningkatkan lagi kes jenayah siber dan penyalahgunaan NPS di peringkat global.

"PDRM menganjurkan kempen kesedaran dan advokasi secara berterusan bagi mendidik masyarakat tentang risiko dunia siber dan pelaporan jenayah siber," katanya.

Beliau berkata, PDRM bertekad meningkatkan keupayaan siasatan bagi membanteras jenayah siber dan penyalahgunaan bahan di Malaysia.

“Melalui kesedaran, masyarakat diperkasakan untuk melindungi diri mereka dan secara tidak langsung menyumbang kepada dunia siber lebih selamat.

“Seminar ini juga dijalankan bagi memenuhi keperluan sumber manusia PDRM bagi jangka masa panjang untuk melahirkan pakar dalam bidang berkaitan penyalahgunaan dadah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!