Harumanis kayangan tetap dapat sambutan

Harumanis kayangan tetap mendapat permintaan walaupun dijual pada harga RM49 sekilogram. Setiap buah harumanis keluaran syarikat Mango Charm mempunyai pelekat logo.
Harumanis kayangan tetap mendapat permintaan walaupun dijual pada harga RM49 sekilogram. Setiap buah harumanis keluaran syarikat Mango Charm mempunyai pelekat logo.
A
A
A

ARAU - Mangga harumanis kayangan yang dijual pada harga RM49 sekilogram tetap mempunyai peminatnya tersendiri walaupun orang ramai berpendapat harga yang ditawarkan agak keterlaluan.

Pengusaha Mango Charm, Afnan Hakim Khalil berkata, dia menerima permintaan tinggi dari seluruh Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun katanya, ketika ini dia tidak membuat penghantaran sehingga ke negeri-negeri Borneo untuk menjaga kualiti buahnya.

"Walaupun ramai yang komen mahal tetapi permintaan yang kita terima membuktikan sebaliknya.

"Ramai yang teruja untuk merasa buah keluaran kami kerana menjanjikan rasa yang premium selain jaminan wang dikembalikan jika buah rosak," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurutnya, buah harumanis keluaran syarikatnya boleh didapati dalam kotak seberat satu kilogram dan tiga kilogram.

Ladang harumanis seluas 8.5 hektar ini dijangka berbuah sehingga Julai depan. Afnan Hakim menunjukkan buah harumanis premium keluarannya.
Ladang harumanis seluas 8.5 hektar ini dijangka berbuah sehingga Julai depan. Afnan Hakim menunjukkan buah harumanis premium keluarannya.

"Kalau yang satu kilogram ada dua hingga tiga biji buah bergantung kepada berat manakala yang tiga kilogram antara enam hingga sembilan biji.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kotak tiga kilogram kita hanya menjualnya pada harga RM139. Tetapi kita ada tawaran menarik yang mana jika pelanggan membeli dua kotak tiga kilogram, harga yang kita tawarkan cuma RM259," jelasnya.

Afnan Hakim berkata, pokok harumanisnya dijangka berbuah sehingga Julai depan dan orang ramai boleh membuat pesanan dalam tempoh terbabit.

"Untuk pemasaran buah harumanis ini kita lebih fokus secara dalam talian, jadi pelanggan lebih ramai daripada luar Perlis dan mereka boleh membeli melalui website kami di mangocharmhq.

"Alhamdulillah setakat ini, pelanggan berpuas hati dengan buah yang mereka terima dan rasa berbaloi dengan wang yang mereka bayar," katanya.

Jelasnya, sekiranya buah yang diterima rosak pelanggan boleh memaklumkan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan buah baharu atau wang ganti.

"Dalam kotak yang kita isi buah itu ada QR Code yang membolehkan pelanggan terus membuat aduan sekiranya ada sebarang masalah.

Qr Code untuk aduan disediakan sekiranya buah yang dibeli rosak.
Qr Code untuk aduan disediakan sekiranya buah yang dibeli rosak.

"Setiap buah keluaran kita juga ada pelekat logo syarikat, jadi kita boleh tahu sama ada buah yang rosak itu milik kita atau sebaliknya," katanya.

Afnan Hakim berkata, dia bermula sebagai ejen jualan harumanis sebelum membuka syarikat sendiri pada tahun 2019.

"Niat saya adalah untuk membantu pengusaha-pengusaha harumanis yang sudah berusia di Perlis untuk jana pendapatan mereka.

"Setakat ini saya mempunyai kira 8.5 hektar ladang harumanis yang dipajak daripada saudara mara dan kenalan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!