'Seperti nak bunuh karier Faisal' - Mohd Sadek

SADEK. Laporan Sinar Harian
SADEK. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KEJADIAN melibatkan Faisal Halim yang disimbah asid bakal memberikan kesan besar kepada prestasi pemain itu pada masa akan datang.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, kesan yang dialami Faisal bukan sahaja kecederaan pada fizikal sebaliknya turut akan menjejaskan psikologi pemain Selangor FC itu.

Bagaimanapun, beliau percaya, Faisal cukup kuat untuk bangkit semula dan sokongan berterusan perlu diberikan semua pihak terutama pasukan kelab untuk memastikan pemain itu pulih sepenuhnya.

"Kejadian itu bukan hanya mengganggu kepada fizikal Faisal, tetapi ia juga mengganggu psikologi. Ia seperti nak bunuh karier Faisal.

"Sama juga kepada Akhyar Rashid (pemain Terengganu FC yang disamun) yang dikhuatiri akan menjejaskan prestasi mereka.

"Mereka adalah ayam tambatan kepada pasukan masing-masing dan negara. Mungkin kedua-dua mereka akan sedikit trauma dalam aspek kehidupan seharian atau pemain.

"Mereka perlu dapat bantuan terbaik daripada pasukan kelab masing-masing dan juga perlu mengutamakan keselamatan selepas kejadian ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Ahad, Faisal telah disimbah asid menyebabkan dia mengalami kecederaan serius di bahagian badan dalam satu kejadian di pusat membeli belah di Damansara.

Artikel Berkaitan:

Ia menjadi kes kedua membabitkan pemain bola sepak selepas Akhyar turut menjadi mangsa samun pada Khamis lalu di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Selain mengalami kerugian RM4,800, dia juga mengalami kecederaan dan terpaksa menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

Dalam pada itu, Mohd Sadek turut menegaskan kejadian yang berlaku itu sesuatu yang tidak sihat kepada industri sukan dan seharusnya dibendung dengan segera.

"Untuk kes Faisal ini, kita masih belum tahu motifnya. Tetapi, ia amat mengejutkan terutama kepada keselamatan atlet.

"Kes samun Akhyar, bagi saya pemain tidak boleh menunjukkan kemewahan mereka kerana mudah menjadi sasaran penjenayah," ujarnya.