Kes rasuah Rizal Mansor, pendakwaan serah dokumen

Datuk Rizal Mansor
Datuk Rizal Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini telah menyerahkan dokumen berkaitan kes bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor yang menghadapi empat pertuduhan rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, kepada pasukan pembelaan.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Rizal memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berhubung kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Pagi ini pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada pembelaan,” katanya pada sebutan kes di sini, hari ini. Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri mengesahkan perkara tersebut.

Ridha Abdah turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes tersebut telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi telah membenarkan pemohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes ini dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, tarikh dan mahkamah mana perbicaraan akan dijalankan belum diketahui lagi,” katanya.

Pada 15 November 2018, Rizal, 45, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Datin Seri Rosmah Mansor berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang berjumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan kedua, Rizal dituduh telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25,000,000 daripada individu sama iaitu Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa telah secara rasuah menerima bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000,000 daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana telah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Disember 2016.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah bagi diri tertuduh kerana telah memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa di No. 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut, dekat sini pada 23 Disember 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama