Kerajaan digesa teguh sokong Palestin walau diancam sekatan oleh AS

Kematian melibatkan rakyat Gaza susulan serangan Israel semakin meningkat. Foto AFP
Kematian melibatkan rakyat Gaza susulan serangan Israel semakin meningkat. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 19 badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan kekal berdiri teguh menyokong rakyat Palestin yang tertindas walaupun Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk menyekat penyaluran dana dari negara itu ke Malaysia.

Gabungan NGO itu menerusi satu kenyataan berkata, desakan itu dibuat susulan laporan bahawa pegawai tertinggi Jabatan Perbendaharaan AS akan datang ke Malaysia pada minggu hadapan untuk mengugut akan menghentikan pemberian dana kepada organisasi di negara ini yang terlibat dalam perjuangan Palestin.

"Sebarang ancaman sekatan oleh kerajaan AS yang munafik itu tidak boleh menghalang negara kita daripada menegakkan pendirian untuk berdiri bersama-sama rakyat Palestin yang tertindas.

"Kami juga menyeru kerajaan dapat mengekalkan pendirian untuk mengiktiraf dan menyokong pihak yang memperjuangkan kebebasan, keadilan serta kesaksamaan untuk rakyat Palestin," katanya.

19 NGO berkenaan adalah Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia, Yayasan AlQuds Malaysia (QFM), Viva Palestina Malaysia, Palestinian Progressive Association Malaysia PPA-M dan Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM).

Ia turut melibatkan Malaysian Consultative Council of Islamic Organizations (MAPIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission (GPM) serta Muslim Care Malaysia (MCM).

Selain itu, mereka juga terdiri daripada Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA), Movement for Monetary Justice Malaysia (MMJ), HALUAN, Friends of Palestine, Association of Ex-professors of UM (PMPUM), Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Gerakan Belia Se-punjabi Malaysia (GBSM).

NGO berkenaan berkata, Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang tidak mudah ditolak oleh kuasa asing terutamanya yang bersubahat dengan jenayah pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas rakyat Palestin, khasnya membabitkan golongan wanita serta kanak-kanak tidak bersalah.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga menyeru kerajaan untuk mengingatkan wakil AS bahawa berjuta-juta rakyat negara mereka menentang keterlibatan negara itu dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin.

"Golongan muda AS terutamanya memberitahu kerajaan mereka bahawa pendirian kerajaan bukan sahaja bertentangan dengan nilai teras masyarakat Amerika, tetapi perbuatan tersebut juga dianggap hipokrit," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!