Parlimen Malaysia suarakan sokongan perjuangan rakyat Palestin di mesyuarat PUIC

Seorang warga emas Palestin tidak dapat menahan sebak kerana terpaksa berpindah-randah di Gaza sejak 90 hari lalu.
Seorang warga emas Palestin tidak dapat menahan sebak kerana terpaksa berpindah-randah di Gaza sejak 90 hari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menyuarakan sokongan Parlimen Malaysia terhadap perjuangan dan hak rakyat Palestin termasuk pembentukan negara Palestin yang berkerajaan sendiri dan beroutonomi.

Perkara itu dinyatakan ketika mesyuarat Kesatuan Parlimen Negara Anggota OIC (PUIC) bagi Jawatankuasa Tetap Palestin di Tehran, Iran, semalam.

Pejabat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kenyataan hari ini memaklumkan Parlimen Malaysia turut menyeru seluruh anggota PUIC untuk terus menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin.

"Parlimen Malaysia bersungguh-sungguh menyokong perjuangan Palestin. Parlimen dan kerajaan Malaysia juga akan menggunakan semua cara yang ada untuk menguatkan suara dan melindungi hak mereka,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari serta wakil Parlimen dari 26 negara melibatkan 54 negara anggota PUIC.

Menurut kenyataan itu, Ramli turut memaklumkan mesyuarat bahawa Malaysia baru-baru ini telah menyatakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berterusan oleh Israel.

Malaysia juga telah menggesa negara anggota PBB untuk bersatu dalam solidariti dengan Palestin dan mengambil tindakan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Menurutnya, Parlimen Malaysia turut mewujudkan Kaukus Palestin yang dipengerusikan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh sebagai tindak balas kepada konflik yang berterusan di Gaza.

Artikel Berkaitan:

Melalui kaukus itu, Parlimen Malaysia telah menggunakan saluran diplomatik dengan menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen Parlimen Malaysia menyatakan kebimbangan dan tuntutan Malaysia berhubung situasi di Gaza. - Bernama