Pelaburan tambahan Microsoft beri limpahan ekonomi

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Faisol)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Faisol)
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaburan tambahan dari Microsoft berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di negara ini dalam tempoh empat tahun akan datang memberi kesan limpahan ekonomi yang positif kepada banyak pihak termasuk membuka peluang pekerjaan baharu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan lagi jumlah pengangguran yang semakin menurun di Malaysia.

Katanya, dalam masa sama bilangan guna tenaga juga dapat ditingkatkan.

“Kemasukan pelaburan tambahan itu bertepatan dengan dasar baharu kerajaan iaitu ke arah memperkasakan lagi bidang kecerdasan buatan (AI) dengan menjadikan Microsoft sebagai pemangkin kepada pihak universiti melahirkan graduan dalam bidang berkenaan.

“Ia bagi memenuhi pasaran semasa dan akan datang yang memerlukan ramai guna tenaga dalam bidang AI,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tambahan oleh Microsoft itu adalah terbesar pada satu-satu masa oleh syarikat tersebut selepas bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Beliau berkata, ia selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara.

Dalam pada itu, Mohd Faisol berkata, kesan limpahan ekonomi juga akan turut diperolehi oleh sektor pembinaan dan sektor-sektor lain yang mempunyai hubung kait dengan proses merealisasikan pelaksanaan pelaburan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Namun yang paling penting, diharapkan pelaburan itu mampu melonjakkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara secara khususnya melalui kerancakan pasaran ekonomi dengan wujudnya peluang pekerjaan dan keupayaan ringgit Malaysia.

“Selain itu, kemasukan pelaburan tambahan ini juga memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan melalui hasil cukai pelaburan asing ke dalam negara dan juga cukai pendapatan syarikat,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!