'Jangan Pandang Belakang' ilham kisah sebenar - David Teo

David Teo
David Teo
A
A
A

PENERBIT terkenal, David Teo mendedahkan idea untuk menghasilkan filem seram Jangan Pandang Belakang dan diikuti sekuelnya datang daripada pengalaman sebenar yang berlaku di sekelilingnya.

Jelas Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) itu, idea bagi filem pertama datang daripada Pierre Andre yang bertindak selaku penulis skrip, manakala sekuelnya pula berdasarkan pengalamannya sendiri yang pernah menjadi mangsa sihir.

"Bagi filem pertama, idea ini tercetus ketika saya dan Pierre dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas penggambaran Main-Main Cinta. Ketika asyik berbual, Pierre tiba-tiba terdiam dan tidak menjawab pertanyaan saya.

"Bila tiba di rumah, baru Pierre jelaskan yang dia ternampak hantu ketika melalui salah satu jalan. Dari situ, saya cadangkan kepada dia untuk tulis sebuah cerita hantu berdasarkan apa yang dia lalui.

"Kemudian untuk filem kedua ini, ilham datang selepas saya mengalami simptom aneh seminggu selepas pengebumian mendiang bapa saya pada tahun 2018. Dari situ timbul idea untuk menggarap naskhah yang kedua," katanya.

David meraikan rakan media dalam majlis sambutan Aidilfitri Riang Ria Raya Jangan Pandang Belakang 2 di sebuah hotel di Bukit Jalil baru-baru ini.
David meraikan rakan media dalam majlis sambutan Aidilfitri Riang Ria Raya Jangan Pandang Belakang 2 di sebuah hotel di Bukit Jalil baru-baru ini.

David berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Riang Ria Raya Jangan Pandang Belakang 2 di sebuah hotel di Bukit Jalil baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai filem Jangan Pandang Belakang, David berkata, pada asalnya, Pierre menyerahkan skrip berjudul Hantu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun selepas dikaji, dia berpendapat tajuk berkenaan tidak dapat menarik perhatian orang ramai, justeru meminta Pierre kembali dengan idea yang lebih menarik.

“Sebulan kemudian, ketika makan di kantin Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), dia nampak sesuatu di belakang kawannya tapi dia cakap: jangan pandang belakang.

“Dari situ, kami dapat idea untuk tajuk filem. Ayat ini untuk memberi bayangan ada hantu tapi tidak kita mahu bercakap secara langsung bahawa hantu ada di situ,” ujarnya.

Untuk rekod, Pierre menjadi penulis skrip untuk Jangan Pandang Belakang pada 2007. Dia kemudian diberikan kepercayaan untuk menjadi pengarah sekuel kepada filem itu bagi menggantikan Ahmad Idham yang melepaskan jawatan itu secara suka rela.