‘Paksa’ diri ikhlas bekerja, elak suka membodek

Setiap kerja dan amal yang dilakukan secara tulus bukan sahaja membuahkan hasil berkualiti, tetapi turut diberi ganjaran oleh ALLAH

IKHLASKAN diri dalam setiap kerja baik yang dilakukan kerana setiap apa yang dilakukan ada nilainya di sisi ALLAH SWT. -Foto: Canva
IKHLASKAN diri dalam setiap kerja baik yang dilakukan kerana setiap apa yang dilakukan ada nilainya di sisi ALLAH SWT. -Foto: Canva
A
A
A

SEORANG rakan pernah mengadu, di tempat kerjanya terdapat beberapa rakan sekerja yang kuat membodek bos. Sudahlah kerjanya tidak seberapa, tetapi cepat pula naik pangkat dan gaji.

Barangkali sudah tertulis rezekinya begitu. Kawan penulis itu bukanlah bersikap iri hati atau tidak boleh merima rezeki kurniaan ALLAH SWT kepada teman sepejabatnya, tetapi sikap mengampu rakannya tadi membuatkan dirinya tidak begitu gemar.

"Aku tak harapkan apa-apa, apalagi dipuji. Cuma bila dalam lingkungan kerja seperti itu, kadang-kadang aku rasa tak ikhlas bila buat kerja," luahnya suatu ketika kepada penulis.

Rasanya bukan sahaja kenalan penulis, tetapi ramai menghadapi masalah yang sama di mana-mana organisasi.

Sempena Hari Pekerja yang jatuh pada bulan Mei, Sinar Islam Plus terpanggil untuk menyelami topik berkaitan kerja yang sering dilalui oleh kebanyakan kita pada setiap hari.

Apakah pandangan Islam tentang sikap bodek dalam bekerja? Bagaimana cara untuk mencapai keikhlasan apabila melunaskan suatu tugasan?

Larangan membodek

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ustaz Muhammad Alawie Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

USTAZ MUHAMMAD ALAWIE
USTAZ MUHAMMAD ALAWIE

Jelas beliau, sikap membodek atau memuji seseorang secara berlebih-lebihan untuk mendapatkan habuan diinginkan adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam.

"Tidak salah untuk kita memuji seseorang sama ada secara bersemuka atau di belakang individu berkenaan, tetapi ada tatacaranya.

"Antara syarat dibenarkan pujian adalah ia mestilah sanjungan yang kena pada hakikat seseorang, bukan dibuat-buat.

"Di samping itu, bersederhanalah dalam memuji dan tidak mempesonakan hingga timbul sifat sombong serta pujian tadi bukan bertujuan yang haram," hurainya panjang lebar.

Menurut perspektifnya, Muhammad Alawie berpandangan, sikap suka mengampu itu dilihat mengambil hak orang lain, sekali gus bersifat tidak adil terhadap mereka.

"Lawan kepada kalimah adil adalah zalim. Sebagai orang yang melakukan kerja dengan ikhlas, teruskanlah bekerja dengan seikhlas mungkin dan sehabis baik dalam cara yang dibenarkan oleh Islam.

"Ingatlah, usah sesekali meniru pembodek kerana tidak halal bagi kita berbuat demikian sebagaimana dilakukan oleh kelompok berkenaan," katanya.

Bagi menangani kes membodek dan mengampu dalam bekerja, pendakwah itu memberikan beberapa tip bernilai buat kita.

Antaranya adalah dengan memberitahu majikan atau pihak atasan organisasi tentang perkara sebenar dan tidak mereka-reka cerita hingga menjadi fitnah ataupun berlaku zalim terhadap orang lain.

Sebaiknya, jalankan tanggungjawab yang betul dengan cara yang dibenarkan dalam agama suci itu, terangnya.

SIFAT ikhlas dalam pekerjaan antara syarat untuk diterima amal seseorang. -Foto: Canva
SIFAT ikhlas dalam pekerjaan antara syarat untuk diterima amal seseorang. -Foto: Canva

"Sebenarnya, orang yang gemar mengampu itu pada hakikatnya menzalimi diri sendiri. Bayangkan apabila kelakuannya terungkai kelak, dirinya akan jatuh ketika itu," katanya.

Sebagai Muslim, kita tidak boleh berdiam diri membiarkan perkara sebegitu menjadi barah.

Ikhlas suruhan ALLAH

Bagaimana caranya untuk mengikhlaskan diri dalam setiap kerja yang dilakukan?

Menjawab persoalan itu, ujar Muhammad Alawie, antara perkara yang boleh mendorong sifat ikhlas dalam pekerjaan adalah sentiasa mengingati bahawa sikap itu merupakan suruhan daripada ALLAH SWT.

"Fahamilah bahawa sikap tulus itu adalah syarat untuk diterima amal seseorang dan ALLAH MAHA MENGETAHUI segala yang rahsia serta yang nyata.

"Seharusnya kita tahu, ALLAH SWT sahaja yang mampu memberi manfaat dan mudarat kepada kita, di samping menjanjikan ganjaran atas setiap perbuatan kita," ungkapnya.

Begitu besar manfaat sifat ikhlas dalam diri kerana ia membuatkan pelakunya menghasilkan kerja yang berkualiti.

Mengulas lanjut, ujar pendakwah itu, ini kerana mereka yang melakukannya dengan penuh suci hati tidak mengharapkan apa-apa imbalan selain keredaan ALLAH SWT.

"Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin ada menyatakan, sifat ikhlas ini memisahkan amal kita daripada kecacatan.

"Ini bermakna, amalan kita itu tiada cacat celanya sebab ia dilakukan dengan tulus dan sehabis baik sebagaimana terpisahnya susu dengan baki makanan dalam perut dan darah dalam badan kita. Itu antara perumpamaan tentang sifat ikhlas," ungkapnya.

ANTARA perkara yang boleh mendorong sifat ikhlas dalam pekerjaan adalah sentiasa mengingati bahawa sikap itu merupakan suruhan daripada ALLAH SWT. -Foto: 123rf
ANTARA perkara yang boleh mendorong sifat ikhlas dalam pekerjaan adalah sentiasa mengingati bahawa sikap itu merupakan suruhan daripada ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Adakalanya disebabkan suatu perkara, niat seseorang melakukan kerja terpesong menjadi kurang ikhlas.

Dalam hal tersebut, Muhammad Alawie berkata, ia tidak boleh dijadikan tiket untuk kita meninggalkan kerja tersebut.

Benar, ada orang mengatakan, 'Tidak payah buat kerja kalau tak ikhlas sebab tidak mendatangkan pahala', tetapi tegas beliau, semua itu adalah hasutan-hasutan daripada syaitan.

"Sebaiknya, teruskanlah beramal dan lakukan kerja tersebut. Bila kita hilang keikhlasan itu, maka kita pupuklah kembali sifat berkenaan untuk terus mendapatkan sikap ikhlas itu kerana ia sebenarnya memerlukan latihan.

"Sebagaimana pada waktu kecil, kita 'dipaksa' untuk menunaikan solat dan puasa, tetapi lama-kelamaan, kita tidak perlu lagi disuruh dan boleh bangun solat sendiri dengan rela hati," ungkapnya.