Berhenti perlekeh, persenda guru

Tegur secara berhemah jika mereka lakukan kesilapan, ikut lunas dibenarkan


SEBAGAI umat Islam, seharusnya kita menghormati dan menghargai peranan guru dalam mendidik generasi muda. -Foto: Canva
SEBAGAI umat Islam, seharusnya kita menghormati dan menghargai peranan guru dalam mendidik generasi muda. -Foto: Canva
A
A
A

ZAMAN sekarang, mahu tegur pelajar bermasalah pun serba salah dibuatnya. Masakan tidak, jika tersilap bicara atau nasihat, boleh tular satu dunia dek ledakan amarah ibu bapa.

Itu salah cikgu, ini silap guru. Boleh dikatakan banyak jari menuding kepada warga pendidik gara-gara menegur murid yang berbuat onar.

Demikian realiti yang berlaku pada masa ini. Hakikatnya, gurulah yang menjadi ‘ibu bapa kedua’ apabila anak-anak berada di sekolah. Malah, mungkin berkat didikan mereka jualah anak kita pandai membaca doa untuk kesejahteraan ibu bapa.

Namun entah di mana silapnya, mereka tetap dipersalahkan jika berlaku sesuatu kepada anak muridnya.

Bahkan, ada kes seorang bapa menyerang guru yang menangkap anaknya merokok di sekolah. Terdapat juga kes seorang ayah menyerang cikgu dengan kayu sebagaimana pernah dilaporkan dalam media sebelum ini.

Dua contoh itu memperlihatkan sejauh mana nilai hormat kita kepada insan yang bergelar pendidik.

Sedangkan, agama Islam begitu memandang tinggi kepada profesion berkenaan. Apa pandangan Islam tentang tindakan mempersenda atau memperlekeh guru?

Perlu hormat guru anak-anak

Artikel Berkaitan:

Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berbicara lanjut tentang topik berkenaan.

Beliau memulakan kalamnya dengan memerihalkan tentang martabat guru yang dipandang mulia dan tinggi di sisi Islam sebagaimana dirakamkan pada ayat 11, Surah al-Mujadalah dek kerana pengorbanan serta dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY
USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelasnya, perbuatan memperlekeh guru merupakan tindakan yang sangat disesali dan bertentangan dengan nilai-nilai agama dan moral yang diajarkan dalam Islam serta sifat takwa.

“Sebagai umat Islam, seharusnya kita menghormati dan menghargai peranan guru dalam mendidik generasi muda.

“Pada masa sama, ambil juga tindakan untuk mencegah dan membasmi perbuatan memperlekehkan guru agar dapat membina masyarakat lebih hormat serta bertimbang rasa,” katanya baru-baru ini.

Ironinya, bukan sahaja pelajar yang makin hilang adab kepada guru, tetapi terdapat sebilangan ibu bapa juga seakan sirna rasa hormat kepada insan yang mendidik cahaya mata mereka.

Ketahuilah bahawa penghormatan terhadap guru itu tidak hanya dituntut kepada murid semata-mata, tetapi juga kepada para ibu bapa, tegas Sharifah Fadylawaty.

Mengertilah, anak-anak perlu diajarkan untuk menghormati guru sebagai figura penting dalam proses pembelajaran dan perkembangan mereka, ungkapnya.

“Dalam konteks hubungan antara ibu bapa dan guru anak mereka, ada perspektif berbeza. Ya, ibu bapa perlu menghormati guru anak-anak, tetapi hubungan ini lebih bersifat kerjasama dalam mendukung perkembangan pendidikan yang terbaik dan holistik bagi permata hati mereka.

“Oleh sebab itu, selain adab dan kesopanan, komunikasi yang terbuka dan kerjasama baik antara ibu bapa dan guru sangat penting,” terangnya.

JANGAN sesekali memperlekeh guru yang mengajar anak kita. Andai tidak berpuasa hati dengan mereka, tegurlah secara berhemah dan tidak mengaibkan mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
JANGAN sesekali memperlekeh guru yang mengajar anak kita. Andai tidak berpuasa hati dengan mereka, tegurlah secara berhemah dan tidak mengaibkan mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Kenang kebaikan pendidik

Sebagaimana manusia lain, guru juga bukan bersifat maksum dan terdedah melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, Sharifah Fadylawaty menasihatkan agar kita menegur mereka secara berhemah tanpa mengaibkan mana-mana pihak sepertimana dilakukan oleh beberapa ulama silam.

Ahli akademik itu kemudian memberikan contoh betapa beradabnya Al-Imam Al-Daraqutni apabila mendapati gurunya, Al-Imam Al-Anbar melakukan kesalahan sehinggakan beliau menggunakan orang tengah bagi menanganinya.

“Semua itu dilakukan atas dasar hormat kepada gurunya. Cara ini sebenarnya juga diaplikasikan dalam pendekatan masa kini.

“Andai ibu bapa mempunyai isu yang ingin diketengahkan berhubung masalah di sekolah, maka berbincanglah dengan pengurusan sekolah agar setiap masalah itu diselesaikan dengan baik dan bijak.

“Sebesar mana pun kesilapan guru, tegurlah secara berhemah mengikut lunas disediakan dan kenanglah kebaikan yang banyak dilakukan kepada anak kita,” titipnya sambil mengingatkan agar orang tua tidak semberono menyalahkan guru jika berlaku sesuatu kepada anak tanpa usul periksa.

Mengulas sikap segelintir ibu bapa yang menyerahkan urusan anak-anak sepenuhnya kepada guru, pensyarah itu berpandangan, tidak wajar mereka bertindak sedemikian.

PENGHORMATAN terhadap guru itu tidak hanya dituntut kepada murid semata-mata, tetapi juga kepada para ibu bapa. -Foto: Canva
PENGHORMATAN terhadap guru itu tidak hanya dituntut kepada murid semata-mata, tetapi juga kepada para ibu bapa. -Foto: Canva

“Malah, tindakan itu tidak selari dengan ajaran Islam yang menekankan peri pentingnya peranan dan tanggungjawab orang tua dalam mendidik anak-anak mereka.

“Ingatlah, ibu bapa bertanggungjawab mendidik, membimbing dan membentuk anak-anak sebagaimana dinyatakan menerusi ayat ke-6 dalam Surah at-Tahrim.

“Tindakan menyerahkan sepenuhnya pendidikan anak kepada guru di sekolah tanpa keterlibatan atau pengawasan ibu bapa adalah suatu bentuk kelalaian dalam memenuhi tanggungjawab tersebut,” tegasnya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Sharifah Fadylawaty mengajak umat supaya menghormati, menghargai dan bersyukur kepada guru-guru yang mendedikasikan diri mereka untuk mendidik bangsa.

“Sikap menghormati guru juga sebenarnya melatih diri kita untuk lebih menghargai ilmu. Bahkan, persoalan adab terhadap guru juga sangat berkait rapat dengan keberkatan ilmu. Dikhuatiri ilmu yang diperoleh tidak berkat andai guru diperlekehkan,” pesannya.

ANEKDOT

Pelihara hubungan baik antara ibu bapa, anak-anak dan guru

-Berkomunikasi secara terbuka dan berempati dengan guru anak-anak serta fahami bahawa cikgu juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Elakkan mencaci atau mempersendakan guru, berbincanglah dan cari penyelesaian bersama.

ISLAM begitu memandang tinggi martabat guru sebagaimana dirakamkan pada ayat 11, Surah al-Mujadalah dek kerana pengorbanan serta dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa.
ISLAM begitu memandang tinggi martabat guru sebagaimana dirakamkan pada ayat 11, Surah al-Mujadalah dek kerana pengorbanan serta dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa.

- Ibu bapa perlu menanamkan nilai penghargaan terhadap pendidikan dan profesion guru.

- Bekerjasama dengan guru dalam mendukung perkembangan pendidikan anak-anak.

- Selesaikan masalah antara ibu bapa dan guru dengan bijaksana tanpa melibatkan anak-anak dalam konflik tersebut, selain menggunakan saluran sesuai.

- Ibu bapa perlu ajarkan anak-anak untuk bertanggungjawab atas tindakan dan tutur kata mereka sendiri. Ia termasuklah menghindarkan diri daripada mencaci guru di hadapan mereka.