Murabbi insani generasi madani

Sokongan, kepercayaan ibu bapa dan masyarakat bantu guru didik anak lebih berkesan

MEMBINA generasi madani memerlukan kerjasama murabbi, ibu bapa dan masyarakat. Foto CANVA
MEMBINA generasi madani memerlukan kerjasama murabbi, ibu bapa dan masyarakat. Foto CANVA
A
A
A

TUGAS guru bukanlah mudah walaupun ada sebilangan kita memandang enteng peranan mereka sebagai murabbi ummah dan pewaris tugas para rasul itu.

Saban tahun sang murabbi ini berusaha keras mendidik anak-anak dalam membentuk generasi yang bertamadun, cuma kita sahaja tidak nampak pengorbanan dilakukan mereka melalui mata kasar.

Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, Iktibar Mimbar Jumaat kali ini mengupas teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bertajuk Murabbi insani generasi madani yang disampaikan Jumaat minggu lalu.

Aplikasi teknologi seiring nilai akhlak

Menurut JHEAT, kerjaya sebagai seorang guru, pendidik dan pensyarah bukanlah mudah kerana golongan ini memikul tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak menjadi insan berguna.

“Mereka mempunyai jiwa untuk menyalurkan ilmu kepada anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai ragam dan latar belakang.

“Kasih seorang guru terhadap anak muridnya ibarat kasih ibu bapa kepada anak-anak,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

IBU BAPA perlu memastikan kesinambungan ilmu yang diajar di sekolah, dipraktikkan di rumah atau di mana sahaja. Foto CANVA
IBU BAPA perlu memastikan kesinambungan ilmu yang diajar di sekolah, dipraktikkan di rumah atau di mana sahaja. Foto CANVA

Khatib menerangkan, medan pendidikan sekarang semakin teruji dengan perkembangan teknologi bersifat dinamik terutama apabila ia melibatkan media sosial yang sukar dikawal.

“Implikasi media sosial ini jika tidak diuruskan dengan bijaksana akan cenderung kepada perbuatan yang negatif dalam kalangan penggunanya.

“Oleh itu, guru perlu bersedia membimbing murid untuk menggunakan teknologi agar seiring dengan nilai akhlak,” jelasnya.

Menurut khatib lagi, kasih sayang seorang guru memberi bimbingan secara berterusan kepada murid tidak dapat diganti dengan teknologi.

Ibu bapa, masyarakat terap adab anak-anak di luar sekolah

Bagaimanapun katanya, ruang lingkup sistem pendidikan tidak hanya terhad di sekolah sahaja, bahkan ia meliputi pelbagai fungsi dan peranannya.

“Sekolah adalah tempat untuk anak-anak menuntut ilmu dan pengalaman yang bermakna, seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Oleh itu, sokongan ibu bapa, penjaga dan masyarakat kepada guru sangatlah diharapkan bagi memastikan hasil pembelajaran tersebut dapat membentuk ke arah anak yang baik lagi cerdik,” katanya.

Khatib turut membawakan hadis Rasulullah SAW mengenai hal ini. Baginda bersabda: “Muliakanlah anak-anakmu dan perelokkanlah adab mereka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Menurutnya, antara adab yang boleh diterapkan dalam diri anak-anak ialah dengan mengajar mereka memberi salam apabila bertemu, menjaga adab semasa bergaul dan membantu orang dalam kesusahan.

“Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak menghormati guru sebagaimana mereka mengharapkan anak-anak menghormati mereka.

“Bagi merealisasikan hasrat kita bersama, sokongan dan dukungan daripada masyarakat terhadap guru menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa serta tamadun,” hurainya.

SOKONGAN dan dukungan daripada masyarakat terhadap guru menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa serta tamadun. Foto CANVA
SOKONGAN dan dukungan daripada masyarakat terhadap guru menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa serta tamadun. Foto CANVA

Katanya lagi, jatuh bangun sesebuah tamadun itu berpaksikan kepada nilai ilmu pengetahuan dan adab yang ada pada diri insan.

“Apabila setiap masyarakat mengambil peduli hal ehwal pendidikan anak-anak, maka perkara yang positif jugalah akan terhasil," ujarnya.

Masyarakat, institusi pendidikan saling bekerjasama

Bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi, justeru katanya, semua pihak seperti persatuan alumni, Persatuan ibu Bapa dan Guru (PIBG), kumpulan sokongan ibu bapa (KSIB), Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS), institusi masjid, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat perlu menjalinkan kerjasama yang erat dengan institusi pendidikan serta memberikan sokongan yang padu kepada para guru.

“Seterusnya, khatib menyeru sidang jumaat sekalian marilah kita mengangkat martabat guru dengan mengamalkan apa yang diajarkan, memberi kepercayaan yang jitu serta mendoakan kesejahteraan mereka agar keberkatan dan rahmat daripada ALLAH sentiasa memayungi hidup kita di dunia dan akhirat,” katanya.

Khatib pada akhirnya menyeru seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut:

1 - Guru mempunyai peranan yang besar dalam menyampaikan ilmu bagi membentuk murid yang berakhlak mulia, seterusnya menyumbang kepada masyarakat yang bertamadun, beriman dan bertakwa kepada ALLAH SWT.

GURU mempunyai jiwa untuk menyalurkan ilmu kepada anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai ragam dan latar belakang. Foto CANVA
GURU mempunyai jiwa untuk menyalurkan ilmu kepada anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai ragam dan latar belakang. Foto CANVA

2 - Ibu bapa perlu memastikan kesinambungan ilmu yang diajar di sekolah, dipraktikkan di rumah atau di mana sahaja bagi memberi nilai tambah kepada proses pembentukan akhlak serta jiwa anak-anak.

3 - Masyarakat hendaklah bersedia menyokong dan berganding bahu dengan guru bagi mewujudkan murid yang berpengetahuan, berketerampilan, berdikari serta berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara.

***Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan disiarkan menerusi laman web jabatan berkenaan.