Sebar video fitnah: Lembaga Maktab Mahmud ambil tindakan undang-undang

Mohd Azam (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Mohd Azam (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Maktab Mahmud akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap individu yang menyebarkan dakwaan wujud campur tangan politik dalam pengurusan sekolah agama dikendalikan kerajaan negeri itu.

Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, satu laporan polis telah dibuat pada Ahad berhubung video tular yang mendakwa wujudnya kartel politik mengawal kontrak bernilai jutaan ringgit daripada sekolah berkenaan.

Menurutnya, Lembaga Maktab Mahmud ingin menegaskan bahawa tuduhan yang tular melalui video di laman sosial adalah tidak benar sama sekali.

“Tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil oleh pengurusan Lembaga Maktab Mahmud bagi memelihara nama baik institusi ini.

“Laporan polis dibuat pada Ahad oleh pengurusan Lembaga Maktab Mahmud bagi menafikan tuduhan yang ditularkan. Tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang memuat naik dan sebar video tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Sejak Khamis lalu, dua buah video tular di beberapa platform media sosial dengan tajuk ‘Kartel politik Maktab Mahmud sakau projek belasan juta?’ dan ‘Lembaga Maktab Mahmud problem’ sehingga menimbulkan tanda tanya netizen.

Video tular berdurasi 3 minit 42 saat itu menunjukkan 'perang mulut' antara dua individu selain memaparkan beberapa dakwaan termasuk wujud kartel daripada sebuah parti politik menguasai Lembaga Maktab Mahmud.

Mohd Azam yang juga Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri tegaskan, tidak wujud kartel politik seperti ditularkan dalam video pertama.

Artikel Berkaitan:

“Video kedua berkaitan isu pertengkaran antara kakitangan Lembaga Maktab Mahmud tular itu adalah video lama, yang berlaku pada 5 Oktober 2023. Ia tular pada tahun lepas namun pengurusan Lembaga Maktab Mahmud telah mengambil tindakan menyelesaikan isu tersebut.

“Kes pertukaran kakitangan yang dibuat oleh pengurusan Lembaga Maktab Mahmud adalah demi kepentingan jabatan. Video yang ditularkan semula itu telah disunting dan diubah suai daripada video sebenar, tiada kakitangan diturunkan pangkat seperti dinyatakan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Lembaga Maktab Mahmud turut menafikan tuduhan berkaitan kes SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia )seperti dinyatakan dalam video tersebut.

“Lembaga Maktab Mahmud memandang serius berhubung penularan video-video tersebut yang mencalarkan reputasi cemerlang Maktab Mahmud. Oleh itu tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil untuk memelihara nama baik institusi,” jelasnya.

Pada Ahad, Mohd Azam menyatakan, isu berkenaan yang tular di laman sosial adalah fitnah dan tidak berasas dan mendakwa semua projek dibuat secara tender terbuka serta bukan ditentukan oleh Lembaga Maktab Mahmud.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!