Sekatan India: Kementerian cari penyelesaian diplomatik

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Industri Utama sedang mencari penyelesaian secara diplomatik berikutan langkah India mengehadkan import minyak sawit bertapis dari Malaysia.

Menteri berkenaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, kementerian itu akan terus menjalin hubungan dengan pembeli minyak sawit terbesar dunia itu untuk mencari penyelesaian secara baik berhubung isu berkenaan.

“Adalah penting untuk membabitkan mereka menerusi saluran diplomatik dengan pihak berkepentingan dan pemain industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Unjuran dan Kajian Semula Ekonomi dan Unjuran Minyak Sawit 2020 di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan India dilapor mengenakan sekatan terhadap import minyak sawit bertapis atas alasan bagi melindungi pengusaha kilang penapis tempatan.

Langkah sekatan terhadap Olein Sawit (OPOL) Ditapis, Diluntur dan Dinyahbau (RBD) diumumkan menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Perdagangan negara itu.

Pada 13 Januari, Teresa menafikan wujudnya usaha pihak di India untuk memboikot minyak sawit keluaran Malaysia.

Sebaliknya kata beliau, menerusi beberapa perbincangan dilakukan, pembeli minyak sawit di negara berkenaan mahu kerajaan Malaysia meningkatkan eksport minyak sawit mentah (MSM) dan mengurangkan pengeksportan bekalan berkenaan yang telah diproses.

Terdahulu, dalam ucapannya Teresa berkata, kementerian itu akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menguruskan akaun amanah yang dinamakan ‘dana penstabilan biodiesel’ bagi cukai cukai keuntungan luar biasa MSM.

Artikel Berkaitan:

“Pihak yang lain seperti pemain industri dan industri minyak sawit akan dijemput untuk menjadi sebahagian daripada komuniti itu selain wakil Kementerian Kewangan untuk menguruskan levi secara telus,” kata menteri berkenaan.

Pada 7 Januari, Teresa berkata, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada cukai keuntungan luar biasa MSM akan disalurkan kepada tabung penstabilan biobahan api yang dijangka ditubuhkan dalam suku pertama tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Teresa berkata, sebanyak 3.68 juta hektar atau 62.91 peratus daripada 5.85 juta hektar kawasan penanaman sawit telah mencapai standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 15 Januari 2020.

Sebanyak 345 kilang minyak sawit atau 75.60 peratus telah memperoleh sijil MSPO.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen penanam sawit yang memiliki 100 ekar atau 40.46 hektar ke atas serta kilang sawit yang tidak mematuhi MSPO mulai 1 Januari 2020,” katanya. - Bernama